MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) dan  Noryahwati (tiga dari kanan) pada pelancaran Smart Classroom.
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) dan Noryahwati (tiga dari kanan) pada pelancaran Smart Classroom.
Pretty Abbyana Asis


Kuala lumpur: Yayasan Aeon Malaysia (MAF) melancarkan projek Smart Classroom bagi merealisasikan misi membantu 23,000 pelajar sekolah untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang terkini dan berkualiti.

Projek ini membabitkan kerja naik taraf infrastuktur dan kemudahan bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan.

Ia membabitkan pemasangan penyaman udara yang baharu, papan putih interaktif, perabot dan peralatan lain untuk bilik darjah.

Presiden MAF Datin Noryahwati Mohamad Noh berkata, pihaknya akan melaksanakan projek ini dalam dua fasa.

"Fasa pertama membabitkan kesediaan infrastruktur untuk sekolah. Fasa kedua pula akan menumpukan kepada guru untuk mengadaptasikan sistem ini ke dalam kurikulum mereka," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 40 sekolah menengah dan rendah bakal melaksanakan projek ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kelantan.

"Kaedah pembelajaran terkini sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih interaktif dan menarik minat pelajar.

"Kami berbesar hati atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam melaksanakan misi untuk terus membantu mempertingkatkan mutu pendidikan negara," katanya.

Projek ini adalah lanjutan dari inisiatif Aeon Sayap Bagimu di mana 4,150 unit tablet telah diagihkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ia dijalankan bagi membantu merapatkan jurang pembelajaran pelajar yang terkesan ketika pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:01 AM