USAHAWAN antara yang akan diberi perhatian melalui Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM.
USAHAWAN antara yang akan diberi perhatian melalui Pelan Pembangunan Komuniti Setempat YaPEIM.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan memberi fokus dalam penyediaan ekosistem pembangunan komuniti yang holistik dan mendasari keperluan sasar menerusi Pelan Pembangunan Komuniti Setempatnya.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang@Musran Tawil berkata, program yang terdiri daripada beberapa siri program khusus itu akan memberi perhatian kepada pembangunan komuniti meliputi pelbagai kategori seperti golongan rentan (termasuk asnaf dan B40), belia, wanita, usahawan, M40 (terutama yang hilang punca pendapatan disebabkan pelbagai faktor).

Katanya, pelaksanaan program di bawah Pelan Pembangunan Komuniti Setempat menggabungkan program ekonomi, pendidikan dan kebajikan supaya keberhasilan dan impak yang lebih mendasar kepada kumpulan sasar.

"Kita akan melihat bantuan apa yang diperlukan oleh golongan ini yang akan dibuat secara berkelompok dan memandangkan program ini baru diperkenalkan tahun ini kami sasar 10 negeri akan terbabit dengan permulaan di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

"Dari segi pembangunan ekonomi antara program yang akan disediakan termasuk pembangunan usahawan asnaf, pensijilan halal dan perkasa produk, coaching & mentoring, pecutan usahawan, inspirasi Pitch4startup serta pemberian greenlane bagi pembiayaan kerjasama rakan strategik YaPEIM.

"Sebanyak RM7 juta diperuntukkan YaPEIM tahun ini bagi memperkasa program komuniti di seluruh negara," katanya kepada Bisnes Metro.

AWANG@Musran Tawil. FOTO Amirudin Sahib
AWANG@Musran Tawil. FOTO Amirudin Sahib

Menurutnya, untuk memperkasa ekonomi Islam juga, YaPEIM akan memberi penekanan terhadap produk sedia iaitu Khidmat Pembelian Emas (KPE).

Beliau berkata, untuk 2023, YaPEIM menyasarkan sebanyak RM200 juta transaksi KPE yang akan direkodkan berbanding RM61 juta tahun lalu terutama membabitkan pembelian emas terpakai.

"Kami jangkakan tahun 2023 akan lebih mencabar dari sudut ekonomi dan mungkin mereka yang mempunyai emas akan menjualnya untuk menampung keperluan masing-masing.

"Kehadiran YaPEIM melalui 213 cawangan kami (204 statik dan sembilan bergerak) juga menawarkan pembelian emas pada harga kompetitif (83 peratus daripada harga pasaran)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 5:01 AM