Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kepada penuntut UPNM.
Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kepada penuntut UPNM.
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberi bantuan bekalan makanan kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

UPNM pada kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu adalah inisiatif YaPEIM dan UPNM menyantuni penuntut daripada golongan B40.

"YaPEIM membantu 105 penuntut UPNM yang terkesan sepanjang tempoh PKPB dengan memberikan bekalan makanan.

"Penuntut yang terpilih membabitkan golongan B40 daripada pelbagai peringkat pengajian seperti asasi, diploma dan sarjana muda," katanya.

Menurut kenyataan, sumbangan disampaikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah Pelaburan YaPEIM Awang @ Musran Tawil.

Turut hadir Naib Canselor UPNM dan Pengurusan Tertinggi UPNM Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

UPNM turut memaklumkan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih menggunakan kaedah atas talian sepanjang tempoh PKPB.

"UPNM turut memperkenalkan sistem tele-kaunseling bagi membantu penuntut dan kakitangan berdepan Covid-19.

"Sistem ini dipantau Unit Kaunseling, Kerjaya & Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPNM dengan kerjasama pengurusan serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:03 PM