DANIEL Lim menyembah maklum mengenai skala model pembinaan surau kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada majlis pecah tanah surau IPD Cameron Highlands.
DANIEL Lim menyembah maklum mengenai skala model pembinaan surau kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada majlis pecah tanah surau IPD Cameron Highlands.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) menyalurkan peruntukan RM5 juta bagi projek pembinaan surau baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Pahang.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, surau itu bakal menjadi tempat ibadah kepada komuniti setempat khususnya kakitangan IPD Cameron Highlands, selain digunakan untuk pelbagai aktiviti berkaitan yang menjurus ke arah penyatuan masyarakat setempat.

Katanya, projek berkenaan sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LBS untuk mewujudkan impak positif dalam kalangan komuniti.

"Sebagai pemaju di Cameron Centrum, sebuah projek pembangunan komersial, kami percaya dengan pembinaan surau yang dilengkapi kemudahan bersesuaian dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat IPD di samping menyokong pembangunan di Cameron Highlands.

"Syarikat yakin terhadap pelaburan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat kerana ia memberi kesan yang positif kepada negara, sejajar dengan visi kami untuk terus konsisten dalam 'Memperkasa Individu, Meningkatkan Komuniti'," katanya sempena majlis pecah tanah pembinaan surau IPD Cameron Highlands, semalam.

Majlis pecah tanah surau itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain; Ketua Polis Pahang, Datuk Seri

Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim.

 DANIEL Lim (kiri), Wan Rosdy (dua dari kiri), Razarudin (dua dari kanan) dan Ramli (kanan) mengiringi Al-Sultan Abdullah melakukan pecah tanah pembinaan surau IPD Cameron Highlands
DANIEL Lim (kiri), Wan Rosdy (dua dari kiri), Razarudin (dua dari kanan) dan Ramli (kanan) mengiringi Al-Sultan Abdullah melakukan pecah tanah pembinaan surau IPD Cameron Highlands

Lim berkata, rancangan pelaksanaan surau terbabit dijangka menjadi nilai tambah kepada portfolio LBS di samping memberi kemudahan kegunaan masyarakat setempat.

Projek pembinaan surau dengan keluasan lantai 6,016 kaki persegi di atas tanah seluas satu ekar (0.404 hektar) itu dijangka mampu memuatkan 200 jemaah.

Surau baharu itu bakal dilengkapi dengan beberapa kemudahan antaranya bilik audio visual, bilik Imam, tandas lelaki dan wanita, halaman terbuka, kolah wuduk, bilik mesyuarat, bilik jenazah, tempat letak kenderaan van jenazah, ruang dapur dan ruang makan.

Surau itu juga akan mempunyai 62 tempat letak kereta termasuk dua tempat letak kenderaan bagi orang kurang upaya (OKU) dan 15 lot motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 3:24 PM