Shamsul Kamal Amarudin


TIADA insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi Op Lestari 2 untuk merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan di sekitar kawasan tanah tinggi terutama di Kuala Terla, Cameron Highlands, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah, berkata operasi dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), berjalan lancar tanpa masalah sepanjang hari ini.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga 3 Januari tahun depan. (Bagaimanapun) esok tiada operasi dijalankan dan akan bersambung pada 26 Disember (Khamis),” katanya ketika dihubungi malam ini.

Semalam, kira-kira 200 orang berkumpul bagi membantah operasi berkenaan mengakibatkan polis menahan tujuh orang yang enggan bekerjasama sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.

LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.

Sepanjang operasi itu, polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan petugas yang menjalankan operasi itu di tanah kebun haram seluas 97.12 hektar membabitkan 60 pemilik dan kebanyakannya diusahakan di Sungai Ichat, Kuala Terla.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pada 9 Disember lalu bersetuju Op Lestari 2 diteruskan bermula 16 Disember lalu.

Pada 7 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika meninjau kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat bertitah agar pencerobohan di lokasi berkenaan dihentikan segera.

Berita berkaitan

'Cari penyelesaian 'menang-menang''

'Tujuh ditahan sertai tunjuk perasaan'

'Semua tindakan patuh undang-undang'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 8:34 PM