Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Perusahan Otomobil Kedua (Perodua) menyasarkan jualan sebanyak 5,700 unit sebulan untuk model Perodua Axia Serba Baharu 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata sehingga hujung Januari lalu sebanyak 20,100 unit tempahan sudah diterima daripada 6,500 unit pembeli baru dan 13,000 unit pembeli sedia ada yang menukar kepada model terbaharu ini.

"Kami menyasarkan pengeluaran model Axia Serba Baharu ini sebanyak 82,000 unit untuk tahun 2023 dan dan 2,900 pembeli bakal menerimanya tidak lama lagi," katanya ketika pelancaran di sini hari ini.

Axia Serba Baharu ini juga adalah kereta kompak segmen-A dengan penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) ditawarkan menerusi empat varian iaitu Axia G, Axia X, Axia SE dan Axia AV.

Ia dibina di atas platform Perodua Smart Build (PSB) dan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) adalah yang ketiga selepas Ativa dan Alza.

Model serba baharu ini tampil dengan rekaan lebih agresif dan sporty serta dimensi lebih besar, rendah dan lebar dan jarak antara roda lebih panjang.

Ruang kabin tema horizontal kemasan hitam dan krom, serta pilihan fabrik tempat duduk daripada material separuh kulit dan fabrik serta ciri eksklusif seperti paparan pelbagai maklumat TFT (Transistor Filem Nipis) 7 inci, paparan audio 9 inci.

Ia juga menawarkan ruang dalaman yang fleksibel termasuk pada bahagian kargo boleh memuatkan empat beg 'suitcase', 'stroller' dan basikal lipat menerusi jatuhan kerusi belakang.

Untuk Axia Serba Baharu dengan enjin 1.0 Liter DVVT dan kotak gear transmisi dwi-mod CVT (D-CVT) baharu ini, ia menawarkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 liter untuk setiap liter.

Ciri lain dengan sistem keselamatan terbaik sehingga 6 beg udara, Pancaran Lampu Jauh Automatik (AHB), Amaran dan Pencegahan Keluar Laluan, Paparan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Bantuan Keselamatan Pintar (ASA 3.0) (varian AV) dan banyak lagi untuk kesemua varian sebagai ciri standard.

Untuk rekod Peordua Axia sudah terjual sebanyak 582,728 unit sejak mula dilancarkan pada 2014.

Perodua Axia Serba Baharu dijual pada harga RM38,000 ( (G), RM40,000 (X), RM44,000 (SE) dan RM49,500 (AV). Semua harga atas jalan tanpa insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 1:16 PM
Perodua Axia Serba Baharu ditawarkan pada harga bermula RM38,000. - FOTO NSTP
Perodua Axia Serba Baharu ditawarkan pada harga bermula RM38,000. - FOTO NSTP