MOHD Taufik  (kanan) menunjukkan perencah  char kuetiau yang merupakan produk terlaris jenama Sem-Poa.- Gambar  NSTP/ASYRAF HAMZAH
MOHD Taufik (kanan) menunjukkan perencah char kuetiau yang merupakan produk terlaris jenama Sem-Poa.- Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kuala Lumpur: FTF Group Sdn Bhd, pengeluar produk makanan di bawah jenama Sem-Poa meluaskan perkhidmatannya dengan menawarkan program rakan niaga menjual char kuetiau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Taufik Ahmad Fauzi berkata, program yang dinamakan Skim Masuk Kerja, Keluar Usahawan itu bukan sahaja memberi peluang orang ramai menjana pendapatan melalui perniagaan makanan, malah mereka yang menjadi rakan niaga akan diberi bimbingan dan latihan sepenuhnya termasuk diajar cara pemasaran yang betul.

Katanya, sejak 2012, syarikat mempunyai 12 produk di pasaran dan sekarang pihaknya memfokus terhadap empat produk utama paling laris iaitu Perencah Istimewa Char Kuetiau, Kuah Rojak Opah, Sos Lada Hitam dan Sambal Tumis Sem-poa.

"Keistimewaan kami Perencah Istimewa Char Kuetiau di mana produk ini resipi asli dari Pulau Pinang dan sedia terus dimasak tanpa perlu menambah bahan lain serta sudah menjalani kajian dan penyelidikan (R&D) selama empat tahun.

"Dapur berpusat kami di Sungai Buloh dan kapasiti pengeluaran sos char kuetiau teow lebih kurang setengah tan sehari dan dijangka dapat menampung permintaan bukan saja rakan niaga, tetapi juga vendor yang menggunakan sos kami.

"Melalui skim rakan niaga atau francais ini, kami tawarkan tiga pakej iaitu Pakej A (RM2,000), Pakej B (RM5,000) dan Pakej C (RM15,000). Bagi Pakej C, mereka yang berminat boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, margin keuntungan untuk skim itu adalah sebanyak 50 peratus dan tiada yuran francais dikenakan kerana objektif syarikat untuk membantu melahirkan usahawan Char Kuey Teow yang berjaya.

Mohd Taufik berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan 50 rakan niaga Sem-Poa tahun ini dengan 20 daripadanya adalah di sekitar Lembah Klang.

"Setakat ini, memang ada prospek yang berminat sudah menghubungi kami dan mengenai lokasi, mereka bebas untuk menentukannya di mana. Untuk sebarang pertanyaan boleh melayari laman web kami, www.sempoa.com.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:02 AM