WONG Kah Woh. FOTO Arkib NSTP
WONG Kah Woh. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan hutang kerajaan Persekutuan yang terus menokok saban tahun.

Pada tahun lalu, paras hutang negara berjumlah RM979.8 bilion iaitu 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkatkan daripada RM879.5 bilion pada 2020, menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 bilion.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, ia berdasarkan pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid ketika taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 kepada pihaknya semalam.

Walaupun Penyata Kewangan Kerajaan 2021 diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, beliau berkata terdapat beberapa perkara ditegaskan Ketua Audit Negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

"Antaranya penegasan perkara termasuk bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peraturan perbelanjaan pembangunan, peningkatkan hutang Persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubahsuai," katanya tadi.

Menyentuh mengenai agihan terimaan pinjaman kasar berjumlah RM217.2 bilion, Kah Woh menjelaskan pada tahun lalu, kerajaan ada membuat pinjaman yang meningkat sebanyak 11.6 peratus daripada RM194.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 52.4 peratus atau RM113.7 bilion digunakan untuk membayar prinsipal pinjaman matang.

"Pinjaman kasar yang dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak RM62.3 bilion bersamaan 28.7 peratus daripada jumlah pinjaman. Manakala pindahan ke Kumpulan Wang Covid-19 adalah RM38 bilion atau 17.5 peratus," katanya.

Mengulas peratusan perbelanjaan pembangunan, Kah Woh berkata daripada RM62.3 bilion yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.9 bilion bersamaan 65.8 peratus digunakan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan berbanding RM37.5 bilion bersamaan 77.3 peratus.

"Manakala sejumlah RM12.6 bilion (20.2 peratus) digunakan untuk tujuan menanggung Liabiliti PFI dan Komitmen Jaminan serta RM8.7 bilion digunakan untuk Pengelasan Belanja Mengurus Kepada Pembangunan," ujarnya.

Berkenaan pembayaran faedah pinjaman melalui kutipan hasil, beliau menjelaskan ia dibuat menerusi faedah pinjaman yang mana 16.3 peratus daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan itu.

Jelasnya, ia bermaksud setiap RM1 hasil yang dikutip, 16 sen daripada kutipan itu digunakan bagi membayar faedah pinjaman.

"Sehubungan itu, PAC terus komited memainkan peranan semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam pengurusan kewangan serta perolehan bagi memastikan ia mematuhi prosedur serta tatacara ditetapkan seperti diperuntukkan dalam sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 4:04 PM