FELDA mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada 2022. FOTO Arkib NSTP
FELDA mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada 2022. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: FELDA mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada 2022, peningkatan berbanding RM545 juta pada 2021.

Penemuan itu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, baki pinjaman daripada institusi luar FELDA sehingga 31 Disember 2022 mencatatkan penurunan, iaitu RM8.659 bilion, berbanding RM8.809 bilion pada 2021.

"Pinjaman ini dibuat bagi penstrukturan semula pinjaman FELDA pada 2018 hingga 2022. Di peringkat Kumpulan FELDA, jumlah baki Pinjaman Daripada Institusi Luar (Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan) setakat 31 Disember 2022 adalah RM15.117 bilion, berbanding RM15.903 bilion pada 2021," katanya.

Laporan itu menyatakan, baki geran kerajaan yang diterima FELDA setakat 31 Disember 2022 berjumlah RM808 juta dan pada 2022, FELDA menerima geran berjumlah RM214 juta, berbanding RM342 juta pada 2021.

"Geran kerajaan menurun sebanyak RM128 juta atau 37.4 peratus disebabkan pengurangan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan pada tahun semasa.

"Pengurangan geran yang diterima FELDA menjejaskan kelangsungan operasi kerana FELDA banyak bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Dari segi pinjaman, FELDA memperoleh pinjaman berjumlah RM7.973 bilion daripada institusi kewangan dan RM686 juta daripada Kerajaan Persekutuan, sekali gus menunjukkan institusi itu mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang.

Pinjaman di peringkat Kumpulan FELDA termasuk perjanjian Kemudahan Pembiayaan Tawarruq yang dimeterai pada 2016 oleh syarikat subsidiari FELDA, iaitu FIC Properties (FICP) dengan Govco Holdings Berhad (GovCo), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) berjumlah RM2.5 bilion bagi membiayai perolehan 37 peratus ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk, sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia.

"Jumlah prinsipal yang dikeluarkan oleh FICP adalah sebanyak RM2.25 bilion, namun FICP gagal membayar balik pinjaman itu menyebabkan FELDA memeterai perjanjian baharu dengan GovCo pada 2017 sebagai jaminan korporat bagi Kemudahan Pembiayaan Tawarruq itu.

"Kumpulan FELDA dikehendaki membayar balik kepada GovCo berjumlah RM200 juta pada 11 April 2023 dan RM2.878 bilion pada 11 April 2024. Pembayaran balik berjadual pada 11 April 2024 melebihi baki wang di tangan dan di bank Kumpulan FELDA pada 31 Disember 2022," katanya.

Selain itu, kedudukan Tunai dan Kesetaraan Tunai FELDA pada 31 Disember 2022 adalah berjumlah RM 808 juta.

FELDA mempunyai komitmen yang signifikan berjumlah RM1.561 bilion, iaitu liabiliti tanam semula berjumlah RM753 juta dan geran kerajaan Persekutuan yang belum dibelanjakan berjumlah RM808 juta.

"Berdasarkan baki Tunai dan Kesetaraan Tunai sedia ada, FELDA tidak berupaya untuk memenuhi komitmen berjumlah RM753 juta.

"Pihak Audit mendapati komitmen bayaran balik pinjaman berbanding kecairan tunai menunjukkan wujud ketidakpastian terhadap keupayaan FELDA dan Kumpulan untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan.

"FELDA bergantung kepada kerajaan dan pembiayaan institusi kewangan untuk menampung kos operasi dan liabiliti," katanya.

Bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai FELDA dan Kumpulan, Jabatan Audit Negara mengesyorkan FELDA menentukan hala tuju yang jelas supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan yang tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan Kerajaan Persekutuan.

"FELDA juga perlu meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiari bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan dan terus berdaya maju tanpa kebergantungan kepada agensi induk, seterusnya berupaya untuk memberi pulangan yang baik kepada FELDA," katanya.

Laporan berkenaan turut memasukkan maklum balas yang diterima daripada FELDA pada 5 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:05 PM