GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: "Isteri membawa pulang bihun dan telur mata selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin dan dimakan kami lima beranak," kata seorang lelaki dikenali sebagai Kamal yang kematian anak lelakinya berusia 17 tahun dipercayai akibat keracunan makanan, hari ini.

Kamal berkata, hanya dia, isteri dan anak lelaki makan telur mata berkenaan, manakala dua lagi anak perempuannya hanya makan bihun.

Menurutnya, arwah makan paling banyak iaitu tiga biji telur mata dan tidak lama selepas itu mereka tiga beranak mula mengalami sakit perut hingga hari ini.

"Hari ini, saya ke klinik dan menyangka anak lelaki tidak apa-apa namun sebaik pulang tengah hari tadi, saya terkejut kerana anak sudah meninggal dunia di rumah.

"Saya difahamkan makanan itu disediakan pihak luar yang ditempah oleh penganjur program terbabit," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menganjurkan program Amal Islami sebagai tuan rumah.

"Bagaimanapun tiada pelajar sekolah itu yang terbabit dengan kes keracunan.

"Seramai 33 guru yang juga urus setia terbabit dan dakwaan membabitkan dua kematian membabitkan pihak ketiga (orang luar)," katanya.

Beliau berkata, Jais masih menunggu laporan untuk mengesahkan kes kematian ini.

Difahamkan, polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 9:57 PM