TAN Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus. FOTO Amirudin Sahib
TAN Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus. FOTO Amirudin Sahib
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Inflasi keseluruhan di Malaysia diunjurkan lebih tinggi pada beberapa bulan akan datang.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pada suku kedua 2022, inflasi keseluruhan dan inflasi teras turut meningkat, masing-masing sebanyak 2.8 dan 2.5 peratus.

Katanya, bagi 2022, inflasi keseluruhan dan teras juga dijangka mencatatkan purata lebih tinggi, hampir kepada julat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

"Inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan bertambah baik dalam persekitaran kos tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.

"Selain itu, ia juga disebabkan oleh kesan asas daripada diskaun ke atas harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021.

"Inflasi teras diunjurkan berpurata lebih tinggi pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi.

"Tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung sebahagiannya oleh langkah-kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada risiko inflasi menjadi semakin tinggi yang berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah dasar dalam negeri," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua 2022, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai perkembangan Ringgit Malaysia yang dilihat semakin lemah, Nor Shamsiah berkata, perkembangan kadar pertukaran Ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2022 (sejak awal tahun hingga 10 Ogos 2022, -6.3 peratus).

"Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau iaitu -4.7 peratus pada suku kedua dan sejak awal tahun sehingga kini, -5.8 peratus.

"Hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine.

"Bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu.

"Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang ketara, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya.

"Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap," katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua mata wang lain juga jauh berbeza daripada dolar AS dan sudah pasti berbanding dolar AS, ringgit lebih rendah kerana matawang itu mengukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 3:07 PM