SEBAHAGIAN sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program di Lotus’s Cheras.
SEBAHAGIAN sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program di Lotus’s Cheras.

LOTUS'S Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) bersama Mondelez International (Malaysia) melalui jenamanya Cadbury Dairy Milk dan Food Aid Foundation mengadakan sesi memasak beramai-ramai di Lotus's Cheras untuk kumpulan tidak berdaya.

Selaras dengan semangat #KitakanJiran Lotus's yang amat mementingkan kesejahteraan masyarakat dan menyokong kempen Cadbury Dairy Milk's #CadburyHuggingBar, ketiga-tiga organisasi berkenaan menyediakan dan mengagihkan lebih 500 pek makanan yang dimasak sukarelawan.

Inisiatif ini diilhamkan daripada sesi memasak juadah berbuka puasa yang dijalankan Lotus's pada April lalu sempena bulan Ramadan.

Selain itu, 100 pek yang diisi barangan keperluan asas bernilai RM100 setiap satu diagihkan kepada penerima bantuan dikenalpasti Food Aid Foundation, bagi memenuhi keperluan mereka di samping meringankan beban kenaikan kos barangan.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat, Lotus's Malaysia, Azliza Azmel berkata, pihaknya amat memahami pada masa kini ramai keluarga tertekan akibat inflasi dan lebih berwaspada dengan perbelanjaan mereka untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

"Inisiatif ini merupakan niat dan usaha kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk membawa kecerian dalam kehidupan mereka dan serba sedikit dapat membantu meringankan beban kebanyakan keluarga B40 dan golongan gelandangan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam merealisasikan inisiatif ini, Cadbury Dairy Milk melalui kempen #CadburyHuggingBar memperkenalkan siri bar coklat khas 160-gram bagi menyokong matlamat mereka untuk menyebarkan kebaikan dan kegembiraan.

Coklat direka khas ini boleh didapati di semua 64 stor Lotus's.

Untuk setiap satu produk Cadbury Dairy Milk yang dibeli pelanggan, 50 sen disalurkan kepada Food Aid Foundation.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 7:00 AM