Cawangan perdana Lotus’s Malaysia di Kepong.
Cawangan perdana Lotus’s Malaysia di Kepong.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) melancarkan inisiatif pendanaan awam (crowdfunding), #KitakanJiran Prihatin bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Dalam memanfaatkan semangat #kitakanjiran Lotus's, pengumpulan dana ini bertujuan untuk meningkatkan jangkauan masyarakat oleh Lotus's yang telah dimulakan sejak awal Julai 2021 melalui pengedaran Kotak Prihatin Lotus's kepada golongan kurang mampu yang merangkumi kumpulan B40; gelandangan; rumah-rumah kebajikan; dan mereka yang telah mengibarkan #benderaputih.

Inisiatif Dana #KitakanJiran Prihatin yang dihoskan di platform pendanaan awam, Sedunia.me, memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang prihatin untuk menghasilkan perbezaan sepanjang bulan Merdeka ini dengan menyumbangkan wang.

Setiap sumbangan terkumpul sehingga RM50 akan menaja satu Kotak Prihatin yang mengandungi barangan makanan asas dan pelitup muka untuk keperluan keluarga dianggotai empat orang sekurang-kurangnya selama seminggu.

Presiden Lotus's, Kenneth Chuah berkata, pada bulan Julai sahaja pihaknya berjaya mengedarkan 7,400 Kotak Prihatin kepada lebih 50 kes keperluan, berikutan permintaan #benderaputih yang meluas.

"Sempena Merdeka ini, kami berhasrat agar semangat prihatin dan perpaduan rakyat Malaysia bersama-sama dapat memberi bantuan kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan.

"Mulai sekarang hingga akhir Oktober 2021, kami berhasrat untuk mengumpulkan sebanyak RM1 juta supaya kami dapat mengedarkan sebanyak 20,000 Kotak Prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik," katanya dalam kenyataan.

Presiden Lotus’s, Kenneth Chuah.
Presiden Lotus’s, Kenneth Chuah.

Sebelum Dana #KitakanJiran Prihatin dilancarkan kepada orang ramai, Lotus's berjaya mengumpul pendermaan dana yang melebihi RM300,000 dari 8,600 rakan-rakan sekerja Lotus's.

Apa yang lebih menarik mengenai Dana #KitakanJiran Prihatin ialah fungsi 'Boost' yang terdapat di platform pendanaan awam Sedunia.me di mana ia membolehkan orang ramai menjalankan kempen pengumpulan dana mini mereka sendiri untuk membantu menyokong kempen utama.

Ini memberi mereka fleksibiliti untuk menentukan dana yang mereka ingin kumpulkan, dan URL unik yang dapat mereka kongsikan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Kami sangat teruja untuk melihat kreativiti dan semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui kempen pengumpulan dana mini mereka bertujuan membantu golongan yang paling terkesan akibat pandemik yang berlarutan ini," katanya.

Semua sumbangan yang dikumpulkan melalui kempen pengumpulan dana sokongan 'Boost' akan dimasukkan ke dalam dana keseluruhan #KitakanJiran Prihatin dan akan ditukarkan menjadi Kotak Prihatin untuk keluarga-keluarga dan individu-individu yang memerlukan.

Orang ramai yang ingin ketahui lebih lanjut dan berminat untuk menyumbang ke dalam Dana #KitakanJiran Prihatin boleh pergi ke laman web https://www.sedunia.me/campaigns/kita-kan-jiran-prihatin-fund/about.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 12:57 PM