Pejabat Bursa Malaysia.
Pejabat Bursa Malaysia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd berada di landasan yang betul kerana dijangkakan sekurang-kurangnya 37 penyenaraian baharu akan dilakukan pada 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift.

Beliau berkata Bursa Malaysia mengadakan libat urus secara berterusan dengan bank pelaburan dan peserta pasaran untuk meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti pengumpulan dana.

"Kami melihat normalisasi dalam pasaran (daripada segi purata nilai dagangan harian ekuiti) dan kami juga melihat pada konsensus penganalisis sebelum merangka proses dengan tumpuan untuk menyedarkan pelabur mengenai tawaran produk kami serta membawa lebih banyak produk ke pasaran," katanya.

Muhamad Umar berkata demikian pada sidang media yang diadakan secara maya selepas mengumumkan prestasi Bursa Malaysia untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 hari ini.

Dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia pada separuh pertama 2022 berjumlah RM2.1 bilion berbanding RM400 juta yang diperoleh dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, pasaran sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM147.2 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2022, penurunan sebanyak 44.7 peratus berbanding RM266.1 juta tahun lepas disebabkan oleh purata nilai dagangan harian yang lebih rendah bagi pasaran sekuriti pada dagangan pasaran dan dagangan perniagaan langsung sebanyak RM2.46 bilion berbanding RM4.51 bilion pada separuh pertama 2021.

Halaju dagangan pada separuh pertama 2022 lebih rendah sebanyak 28 mata peratusan kepada 33 peratus berbanding 61 peratus pada separuh pertama 2021.

Muhamad Umar berkata Bursa Malaysia akan terus meningkatkan daya tarikan penerbit tersenarai sedia ada melalui Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:46 PM