MENGAWAL perbelanjaan harian mengikut kemampuan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menghadapi inflasi pada masa ini. - Gambar NSTP/GHAZALI KORI
MENGAWAL perbelanjaan harian mengikut kemampuan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menghadapi inflasi pada masa ini. - Gambar NSTP/GHAZALI KORI
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


ORANG ramai perlu melihat semula perbelanjaan mingguan dan bulanan serta kurangkan peruntukan tidak perlu bagi menghadapi inflasi.

Sebagai contoh, perbelanjaan berkaitan langganan penstriman video atau muzik.

Selain itu, pengguna juga perlu lebih 'berkira' khususnya dalam aspek berbelanja barangan runcit dan memilih produk di kedai generik dan menawarkan harga berpatutan.

Demikian pandangan Pakar Kewangan Islam dan Fintech Muhamad Fahmi Mustafa mengenai langkah yang boleh diambil orang ramai dalam menghadapi inflasi.

Katanya, inflasi adalah peningkatan secara umum terhadap harga barang dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi.

"Apabila inflasi terkawal, ini bermakna pasaran berada dalam keadaan sihat namun ia menjadi buruk apabila inflasi tidak terkawal.

"Di Malaysia, secara makro, inflasi masih dalam keadaan terkawal, walaupun sedikit tinggi (sekitar 2.3 peratus) tetapi secara mikronya, indeks harga konsumer yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, harga makanan berada di kadar 4.1 peratus dan servis seperti restoran dan hotel, peralatan rumah serta pengangkutan menyaksikan kenaikan sekitar 3.0 peratus atau lebih.

"Jadi apa yang boleh dilakukan di peringkat individu untuk menghadapi inflasi dan antara langkah utama adalah dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

"Lihat kembali perbelanjaan mingguan dan bulanan dan cuba potong atau kurangkan di mana perlu termasuk langganan bulanan seperti penstriman video atau muzik, dan servis yang boleh dilakukan sendiri bolehlah dinilai semula.

"Beli-belah untuk barangan runcit secara berbeza dan lebih 'berkira' sebagai contohnya, membeli produk di kedai yang lebih generik dan menawarkan harga berpatutan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain itu pengguna juga boleh mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan api serta kawal pengunaan penyaman udara di rumah dan tutup enjin kereta ketika menunggu.

"Selesaikan hutang secepat mungkin dan ini akan meningkatkan aliran tunai serta teruskan menyimpan dan jangan simpan terlalu banyak wang tunai fizikal di rumah, kerana risiko kehilangan wang akibat rompakan dan terdapat beberapa kes rumah terbakar dan habis semua simpanan hangus.

"Simpan di institusi kewangan, ia selamat dan dilindungi oleh Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), tambah pula, ia mempunyai pulangan keuntungan yang boleh melawan inflasi," katanya.

Menurutnya, paling penting ialah mencari jalan untuk menambah pendapatan, sama ada tukar kerja, mempelbagaikan pendapatan atau pelaburan yang boleh memberi pendapatan pasif melebihi kadar inflasi.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan kadar inflasi ketika ini memang berlaku di seluruh dunia dan tidak dapat dielakkan termasuk Malaysia, justeru cara terbaik untuk rakyat mendepaninya adalah melalui pengurusan kewangan peribadi dan isi rumah dengan lebih teliti.

Beliau berkata, sebagai rakyat langkah terbaik yang boleh dilakukan dari segi pengurusan kewangan adalah dengan mengawal perbelanjaan harian mengikut kemampuan.

"Kita juga boleh berbelanja secara berhemah dan jika menghadapi kesukaran dalam mengurus komitmen hutang bulanan, berjumpa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) supaya dapat menstrukturkan semula komitmen yang ada.

"Pada masa sama, kita boleh cuba mengurangkan pembelian barangan import kerana kebanyakan barangan import sudah menjadi lebih mahal disebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global dan ringgit yang melemah.

"Sebaiknya utamakan barangan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:00 AM