VILLARI
VILLARI
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kulim: AT&S peneraju dalam pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat berprestasi tinggi bertaraf global optimis pembinaan fasa satu kilang baharu mereka di Malaysia yang terletak di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Ia sekali gus dapat menyelesaikan sasaran pengambilan 6,000 pekerja menjelang suku pertama 2025.

Ketika ini, pemasangan cerucuk bagi asas kerja binaan yang terdiri daripada dua bangunan kilang, satu bangunan pentadbiran dan 10 bangunan tambahan siap sepenuhnya dengan mengambil masa lima bulan selepas projek itu dimulakan November tahun lalu.

Terbaharu, kerja pemasangan bumbung dilaksanakan dengan ia dijangka selesai suku keempat tahun ini.

Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Vittorio Villari berkata, pembinaan kilang baharu bagi fasa satu di atas tanah berkeluasan 23.07 hektar yang membabitkan pelaburan 1.7 bilion Euro (RM8.5 bilion) dijangka memulakan operasi pada 2024.

Katanya, dalam jangka panjang pihaknya menyasarkan kilang itu bakal menjana hasil sehingga 3.5 bilion Euro (RM16.2 bilion) pada 2025 melalui penghasilan PCB dan IC substrat berteknologi tinggi dari fasiliti terbaharu di rantau Asia Tenggara itu.

"Walaupun kita ada terkesan dengan kenaikan kos barang mentah baru-baru ini, tetapi ia tidak menjejaskan garis masa yang dirancang, sekali gus yakin ia mampu siap mengikut jadual serta mencapai sasaran syarikat," katanya pada acara lawatan media ke tapak pembinaan kilang berkenaan.

Mengulas lanjut, Vittorio berkata, pihaknya kini giat mencari kumpulan bakat yang berkemahiran dan berpengalaman bagi mengisi kekosongan jawatan, disamping mengadakan promosi serta kerjasama dengan beberapa institusi pengajian di negara ini.

"Kita akan melatih bakat-bakat ini dengan ilmu pengetahuan berkaitan bidang semikonduktor berteknologi tinggi.

"Buat masa ini, keutamaan diberikan untuk warga tempatan membabitkan kolar putih dan kolar biru yang kita sasarkan 6,000 pekerja menjelang akhir 2024 atau awal tahun 2025," katanya.

Difahamkan, syarikat itu pada ketika ini mengendalikan kira-kira 400 pekerja antaranya merangkumi pentadbiran dan sumber manusia,teknologi maklumat serta kejuruteraan.

Untuk rekod, AT&S yang berpengkalan di Austria mempunyai kehadiran global dengan tapak pengeluaran di Leoben, Fehring di Austria dan kilang di India (Nanjangud), China (Shanghai, Chongqing) serta Korea Selatan (Ansan berhampiran Seoul) dengan keseluruhannya syarikat berkenaan menggajikan kira-kira 12,000 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 7:00 AM