TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP.
TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyambut baik keputusan Sustio Sdn Bhd (SSB), anak syarikat Simmtech Co Ltd, untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang.

Tengku Zafrul berkata, Simmtech yang berpangkalan di Korea Selatan ialah pengeluar global terkemuka bagi substrat pembungkusan semikonduktor, dan papan litar bercetak berketumpatan tinggi (HDI PCB).

Menurutnya, fasa kedua pelaburan, bernilai AS$50 juta, dijangka siap menjelang suku pertama 2023.

"Pelaburan tambahan ini akan menggandakan kapasiti pengeluaran HDI PCB dan mewujudkan 400 pekerjaan sepenuh masa untuk rakyat Malaysia.

"Awal tahun ini, Simmtech melabur AS$150 juta untuk menyiapkan tapak pembuatan seluas 18 ekar (7.3 hektar), mewujudkan lebih 1,200 peluang pekerjaan sepenuh masa untuk rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, peluasan operasi anak syarikat Simmtech di Malaysia membuktikan bahawa negara terus menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan bernilai tinggi, disebabkan kedudukan strategik industri negara dalam rantaian nilai E&E global, serta ketersediaan tenaga mahir Malaysia dalam sektor ini.

"Projek pembesaran ini juga menyokong Dasar Pelaburan Baharu (NIP) negara, yang mana matlamatnya termasuk memupuk pelaburan inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang membantu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, yang juga kunci kepada peningkatan sosio-ekonomi jangka panjang negara dan pertumbuhan yang mampan.

"MITI, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pelaburan asing dan domestik bagi meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:44 PM