YAW (kiri) pada pelancaran ‘Pakar Salutan’ cat Nippon.
YAW (kiri) pada pelancaran ‘Pakar Salutan’ cat Nippon.

Kuala Lumpur: Nippon Paint (M) Group (Nippon Paint) mahu meningkatkan pendapatan kepada RM1 bilion menjelang akhir 2017 berbanding RM650 juta pada 2014.

Pengarah Urusan Kumpulan, Yaw Seng Heng berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui strategi serampang tiga mata iaitu meneroka pasaran baru, mengembangkan rangkaian pengagihan dan memperkenalkan inovasi salutan yang baru dalam tahun ini.

“Kami bermula sebagai ‘Pakar Cat’ dan kami kini sedang memasuki peringkat seterusnya iaitu untuk menjadi ‘Pakar Salutan’ bagi memenuhi pelbagai keperluan industri.

“Salutan kini menjadi teknik penggantian yang lebih mampan untuk sesetengah bahan binaan yang sedia digunakan dan kami mahu memperkenalkan sekurang-kurangnya empat jenis inovasi salutan bagi setiap permukaan seperti simen, kayu dan kaca,” katanya.

Perkhidmatan salutan Nippon Paint kini memenuhi permintaan dari segmen seni bina, automotif dan industri.

Sementara itu, Pengurus Besar Nippon Paint, Goh Kaye Jen berkata, kumpulan itu telah menggariskan pelan pertumbuhan perkongsian pasaran sehingga 50 peratus di Malaysia serta rancangan untuk meningkatkan pasaran perkongsian mesin pengadun warna daripada 50 kepada 70 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, walaupun dengan keadaan ekonomi yang mencabar serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), syarikat itu yakin akan dapat membina kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran industri salutan untuk 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:42 PM