KEMENTERIAN dijangka mohon bantuan tambahan  melalui belanjawan  tahun hadapan untuk usahawan muda dan siswazah.
KEMENTERIAN dijangka mohon bantuan tambahan melalui belanjawan tahun hadapan untuk usahawan muda dan siswazah.

Shah Alam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) merancang menubuhkan skim khas untuk membantu usahawan dalam kalangan siswazah tempatan, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.

"(Bantuan) ini akan saya beritahu kelak, tetapi memang kami sedang berbincang kerana sebagai contoh, kita sudah ada skim untuk sektor informal, justeru saya berpendapat sudah tiba masanya kita merancang mewujudkan satu skim khusus untuk usahawan dalam kalangan siswazah," katanya dalam Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kelmarin.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Kuskop akan terus membantu golongan usahawan menerusi pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan terutamanya apabila aktiviti ekonomi negara kini kembali pulih.

"Insya-Allah, jika tidak sempat tahun ini, kementerian akan mohon (bantuan tambahan daripada kerajaan) melalui Belanjawan untuk tahun hadapan terutama untuk usahawan muda dan siswazah.

"Ini adalah susulan perjumpaan saya dengan pentadbir dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Utara Malaysia yang menyediakan kursus keusahawanan...hubungan antara kementerian dan universiti berkenaan ini akan diperkukuhkan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 7:10 AM