NOH (berdiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir. FOTO Faiz Anuar
NOH (berdiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Usul pindaan Perlembagaan Umno bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti yang dipersetujui sebulat suara oleh ahli parti Ahad lalu membuktikan perpaduan parti itu bertambah mantap.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Seri Noh Omar berkata, keputusan sebulat suara itu juga sekali gus menolak dakwaan wujudnya kluster tertentu dalam kalangan ahli Umno.

"(Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas) ..kita dapat hikmah dan barakah yang mana perpaduan Umno semakin mantap dengan 100 peratus ahli yang hadir memberikan sokongan.

Lebih menarik, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden (UMNO) turut bangun menyokong usul itu.

"Ini membuktikan perpaduan Umno hari ini amat baik sekali. Kalau ada yang kata ada Kluster Putrajaya, Kluster Umno...itu tidak betul (kerana) yang kita ada sekarang perpaduan.

"Bila ada pindaan itu, bermakna tidak timbul lagi isu hendak pilihan raya dulu atau hendak pemilihan pimpinan parti dulu. Jadi ini semua terserah dengan pimpinan," katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga menteri KUSKOP berkata, pihaknya kini dalam usaha membantu usahawan dalam kalangan siswazah.

"Insya Allah, jika tidak sempat tahun ini.. Kita akan mohon bajet tahun hadapan kerana sudah sampai masanya kementerian merancang satu skim untuk membantu usahawan yang terdiri daripada kalangan siswazah, golongan muda.

"Saya ada membuat perjumpaan dengan pentadbiran universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana universiti ini ada kursus keusahawan... jadi kita eratkan hubungan (dua hala).

"Kementerian sedang merancang untuk memberikan skim khas bagi membantu usahawan graduan ini, saya akan maklumkan kemudian... kita sedang berbincang (berhubung perkara ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:55 AM