GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersenarai dalam 10 lapangan terbang terbaik dunia menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).

ASQ adalah program penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dijalankan 'Airports Council International' (ACI) yang menetapkan standard perkhidmatan, protokol dan garis panduan operasi bagi lapangan terbang di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, walaupun berdepan waktu mencabar namun KLIA atau KUL (kod Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) kini menduduki tangga kesembilan dunia.

"Kami naik ke tangga sembilan dunia untuk separuh pertama 2020 berbanding tangga ke-17 pada 2019.

"KUL memperoleh skor keseluruhan yang lebih baik iaitu 4.94 daripada 5.00 berbanding 4.69 tahun sebelumnya.

"Prestasi cemerlang kami merangkumi markah penuh 5.00 untuk kepuasan penumpang dan perniagaan, kebersihan terminal (4.99) dan kebersihan tandas (4.97)," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Shukrie berkata, penambahbaikan pengiktirafan dan skor itu menerusi komitmen dan usaha berterusan dilakukan keseluruhan pasukan KUL untuk meningkatkan tahap perkhidmatan keselamatan dan pengalaman di lapangan terbang.

"Saya bangga dengan pasukan kerana prestasi ASQ KUL yang cemerlang sehingga kini.

"Walaupun terdapat cabaran dalam pematuhan normal baharu dalam operasi lapangan terbang, seluruh komuniti lapangan terbang menunjukkan semangat kolaborasi yang kuat dan bersatu untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan KUL di mata dunia," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menubuhkan Bahagian Kecemerlangan Operasi (OE) khusus membantu penumpang dalam mengadaptasi normal baharu.

"OE sebagai penyelesaian jangka panjang dalam aliran penumpang untuk mengelakkan masalah di pelbagai pusat pemeriksaan terminal.

"Berikutan prosedur dan SOP (prosedur operasi standard) baharu, masa yang diambil di pusat pemeriksaan terutama pada waktu puncak meningkat.

"Di samping itu, pasukan ini juga ditugaskan untuk menanamkan keyakinan kepada penumpang di seluruh terminal dengan memastikan standard kebersihan tertinggi dipraktikkan untuk keselamatan penumpang," katanya.

Menurutnya, setakat ini, OE mengenal pasti lebih daripada 60 idea penambahbaikan di KUL dengan 50 daripadanya dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Idea dan penyelesaian tidak semestinya kompleks kerana objektifnya adalah untuk memberikan kemudahan kepada tetamu lapangan terbang.

"Contoh, memastikan kod QR 'MYsejahtera' di lebih banyak lokasi dan merancang lokasi yang sesuai untuk penanda penjarakan fizikal," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 5:21 PM