Pramaguri Firefly Sharon Chang (kanan) dan Ranjita Ganesan menunjukkan model pesawat Firefly Boeing 737 yang memulakan operasi penerbangan. FOTO Bernama
Pramaguri Firefly Sharon Chang (kanan) dan Ranjita Ganesan menunjukkan model pesawat Firefly Boeing 737 yang memulakan operasi penerbangan. FOTO Bernama
SOON Hin (tengah) bersama Philip (kiri) dan Izham (kanan) pada majlis pelancaran. FOTO Bernama
SOON Hin (tengah) bersama Philip (kiri) dan Izham (kanan) pada majlis pelancaran. FOTO Bernama
BERNAMA

Georgetown: Syarikat penerbangan Firefly merancang untuk menambah tujuh lagi pesawat secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang untuk meningkatkan penerbangan domestik, ASEAN dan Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Izham Ismail berkata, ketika ini anak syarikatnya itu mempunyai tiga pesawat Boeing 737-800 dengan pangkalan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Berdasarkan jangkaan ketika ini, perjalanan domestik dan jarak dekat adalah antara yang mendapat permintaan tinggi, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari wilayah utara dengan LTAPP sebagai hab baharu Firefly.

"Pertambahan pesawat Firefly dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dijangka melebarkan lagi jaringan dan pada masa yang sama memperkenalkan pasaran baharu yang menarik penumpang untuk terbang ke Malaysia menerusi Pulau Pinang dalam usaha meningkatkan industri ekonomi, perdagangan, pelancongan serta berhubung semula dengan keluarga tersayang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran penerbangan pertama Jet Firefly Boeing 737-800 di LTAPP di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See.

Mulai hari ini, Firefly turut mengendalikan Boeing 737-800 miliknya dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching untuk penumpang yang melakukan perjalanan ke dan dari bandar-bandar utama di Malaysia.

Sementara itu, See berkata pasaran global mengalami perubahan sejak pandemik Covid-19, sekali gus memerlukan syarikat penerbangan untuk menerapkan perubahan yang sejajar dengan kehendak pasaran.

Sehubungan itu, beliau berkata Firefly bersedia untuk memikul cabaran itu.

"Malaysia telah membuka sempadan negara sejak 1 April dan kami berbesar hari kerana Firefly kembali menyambung semula operasi penerbangan dan pada masa yang sama memulakan perkhidmatan laluan baharu yang akan memberi manfaat ketara kepada pelancong dan komuniti.

"Ini juga menandakan tahun ke-15 kami beroperasi, di mana kami telah mengukuhkan kedudukan sebagai perintis dalam penerbangan jarak dekat di rantau ini, menawarkan kemudahan dan keselesaan kepada semua," katanya.

Menurut See, Firefly akan terus mengembangkan penerbangan di ASEAN dengan menawarkan pakej-pakej nilai yang melangkaui kemudahan dan wilayah.

Beliau berkata, Firefly akan melaksanakan dua penerbangan pergi dan balik setiap hari dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan satu penerbangan pergi dan balik setiap hari, masing-masing dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu serta Kuching.

Katanya, bermula 25 April, kekerapan itu akan ditingkatkan kepada tiga kali sehari dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, manakala masing-masing dua kali sehari dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu dan Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 2:56 PM