PENGARAH Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha.
PENGARAH Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha.

SIME Darby Plantation Berhad (SDP) mengumumkan penyertaan 11 rakan niaga yang terpilih bagi Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera untuk meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, enam syarikat vendor Bumiputera turut dianugerahkan sijil tamat penyertaan selepas mengikuti dengan jayanya program itu sepanjang tempoh lima tahun yang lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata, komitmen SDP untuk membantu usahawan Bumiputera melalui program PPV sudah bermula sejak tahun 2014 lagi, sewaktu syarikat itu masih lagi anak syarikat dalam Kumpulan Sime Darby.

"Komitmen itu diteruskan selepas SDP mula tersenarai sebagai syarikat berhad pada akhir tahun 2017. Sehingga hari ini, jumlah perolehan SDP yang membabitkan vendor-vendor Bumiputera melalui program berkenaan sudah melebihi RM200 juta," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan seperti SDP memainkan peranan penting untuk membantu membangunkan usahawan Bumiputera supaya menjadi lebih kompetitif.

"Melalui Program Pembangunan Vendor Bumiputera, SDP tidak hanya membantu memperkasakan usahawan, kami juga membina kerjasama yang rapat dengan rakan-rakan niaga yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab dalam memastikan keberkesanan aktiviti-aktiviti perolehan dalam mencapai nilai optimum dan menjaga kepentingan pemegang-pemegang saham," katanya.

Vendor-vendor yang diterima untuk menyertai PPV di SDP berpeluang untuk menimba pengetahuan dan meningkatkan kemahiran melalui pelbagai program latihan yang disediakan oleh SDP serta agensi-agensi teknikal terpilih yang merangkumi pelbagai subjek kemahiran seperti pengurusan perniagaan, logistik, kualiti dan produktiviti.

Bersesuaian dengan fokus syarikat kepada inisiatif-inisiatif mekanisasi dan inovasi perladangan, Ketua Pegawai Pekhidmatan Operasi SDP, Adi Wira Abd Razak berkata, pada tahun ini SDP juga sudah mengenal pasti vendor Bumiputera yang akan bekerjasama dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan.

"Kami ingin mempelawa lebih ramai lagi syarikat Bumiputera untuk mendaftar sebagai vendor kami, terutamanya syarikat-syarikat yang boleh memperkenalkan inisiatif-inisiatif inovatif, serta membantu menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi industri sawit seperti masalah kekurangan pekerja yang memberi impak kepada produktiviti," katanya.

Dalam pada itu, SDP turut mempelawa usahawan Bumiputera, khususnya dari golongan B40, untuk mengusahakan tanaman alternatif di lot-lot tanah terpilih di bawah talian pembekalan elektrik yang berlokasi di sekitar kawasan operasi SDP di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 7:20 AM