KEBANYAKAN pemaju optimis pasaran hartanah separuh kedua 2021 lebih baik berbanding separuh pertama tahun ini.
KEBANYAKAN pemaju optimis pasaran hartanah separuh kedua 2021 lebih baik berbanding separuh pertama tahun ini.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh enam ke 24 bulan akan datang sekiranya tiada lagi pelaksanaan sekatan pergerakan dan disokong dengan capaian imuniti kelompok.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon berkata, kebanyakan pemaju juga optimis pasaran hartanah separuh kedua tahun ini akan lebih baik berbanding separuh pertama tahun ini.

Katanya, menerusi Tinjauan Industri Hartanah 1H2021 dan Unjuran Pasaran separuh kedua (2H2021) dan separuh pertama 2022 yang disertai 180 pemaju itu turut menyatakan 87 peratus pemaju hartanah bersetuju imuniti kelompok akan mempercepatkan pemulihan pasaran hartanah.

"Selain itu, majoriti responden juga berharap Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dapat diteruskan bagi merancakkan lagi pasaran hartanah.

"Sebanyak 76 peratus pemaju pula mempertimbangkan untuk mengalihkan fokus daripada membina hartanah berharga lebih RM500,000 kepada hartanah di bawah harga berkenaan.

"Seterusnya, sebanyak 15,076 unit dirancang untuk dilancarkan pada 2H2021 iaitu 9,319 unit unit kediaman strata dan 5,549 unit kediaman bertanah," katanya pada taklimat media secara maya, semalam.

Menurutnya, tinjuan itu menyatakan 89 peratus responden dengan pelancaran akan datang menjangkakan prestasi penjualan mereka untuk enam bulan pertama adalah 50 peratus atau lebih rendah.

Beliau berkata, pemaju hartanah di Terengganu, Perak, Kedah,Perlis dan Negeri Sembilan pula merancang untuk melancarkan unit kediaman dalam lingkungan harga RM250,001 hingga RM500,000.

Manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula akan memfokus untuk melancarkan unit kediaman dalam lingkungan harga RM500,000 ke RM700,000.

"Sebilangan besar pelancaran baru adalah jenis pangsapuri atau kondominium dengan jumlah 3,955 unit, kebanyakannya di Puchong dan Klang, sementara rumah dua ke tiga tingkat jenis teres adalah yang kedua tertinggi dengan 3,142 unit diikuti pangsapuri servis (1,156 unit).

"Hartanah yang terletak di Shah Alam dan Klang pula majoriti pembelinya adalah pembeli kali pertama dengan tujuan tinggal sendiri diikuti pembeli untuk ahli keluarga dan pelaburan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenaikan harga hartanah bagi tempoh akan datang, Soam berkata, buat masa sekarang pihaknya tidak dapat memberi anggaran kenaikan kerana berdepan situasi mencabar.

"Kita berdepan dengan fenomena kenaikan harga komoditi seperti harga besi, aluminium dan pelbagai lagi, malah harga besi juga tidak menentu sekarang.

"Oleh itu, sukar untuk menjangkakan berapa kenaikan harga hartanah buat masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:00 AM