MOHD Muazzam (berdiri tengah) menyaksikan  majlis menandatangani MoU, semalam.
MOHD Muazzam (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU, semalam.

BANK Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyasarkan pertumbuhan jumlah pembiayaan peribadi sebanyak tujuh peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sasaran terbabit bakal dicapai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan patuh syariah yang lengkap kepada ahlinya.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya sebelum ini berjaya mencatatkan sejumlah 8,873 pelanggan profesional kesihatan dengan amaun pembiayaan peribadi terkumpul bernilai RM796 juta setakat Disember tahun lalu.

Ia adalah susulan daripada MoU yang dimeterai sebelum ini bersama enam pertubuhan kesihatan pada September tahun lalu.

"Menerusi kerjasama baharu ini, BIMB akan menawarkan sokongan yang diperlukan oleh 44,500 ahli yang berdaftar dengan pertubuhan berkenaan menerusi akses kepada penyelesaian kewangan kami.

"Antara fasiliti disediakan termasuk Pembiayaan Peribadi-i BIMB, yang membabitkan jumlah maksimum RM300,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun pada kadar kompetitif, produk deposit serta pengurusan kekayaan dan tunai.

"Selain itu, BIMB turut menawarkan produk perbankan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memberi kemudahan kepada ahli pertubuhan berkenaan membuka perniagaan persendirian," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan kolaborasi antara Bank Islam dan pertubuhan profesional di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden PAM, Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, Naib Presiden MSOSH, Zainuddin Kisman dan Pengarah Eksekutif, Keahlian MIA, Siti Rohana Mohamed Amin.

Dalam pada itu, pemeteraian MoU ini juga adalah usaha lanjutan BIMB dalam mengukuhkan lagi perniagaan dengan penawaran produk dan perkhidmatan khusus untuk segmen tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 7:10 AM