MONICA (dua dari kiri).
MONICA (dua dari kiri).
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: i-City terus mengekalkan kedudukan sebagai bandar teknologi nombor satu Malaysia dengan pembinaan bangunan pintar hijau pertama dalam negara.

Bangunan terbabit juga adalah hasil kerjasama strategik bersama China Mobile (CMIM).

Pengarah i-City, Monica Ong berkata, pihaknya kukuh dalam misi bagi mencipta nilai yang terbaik untuk pemegang kepentingannya menerusi teknologi yang lebih pintar.

"Menara korporat berkenaan bakal dilengkapi dengan rangkaian internet 5G membolehkan kamera dan sensor mengawasi persekitaran dan aliran lalu lintas manusia bagi pengumpulan data.

"Menerusi kemampuan teknologi kecerdasan buatan (AI) digabungkan dengan fabrik bangunan, tenaga yang digunakan untuk menyalakan lampu, penghawa dingin dan lain-lain peralatan elektronik boleh diubah secara automatik berdasarkan cuaca dan bilangan individu di dalam bangunan," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya pengumpulan data yang mencukupi dan mesin yang disambungkan ke dalam bangunan, perancangan sumber sekuriti dan kebersihan dapat diuruskan dengan lebih efektif.

Jelasnya, pembinaan bangunan hijau pintar ini turut bakal meningkatkan kemampanan dan khususnya pengalaman penyewa bangunan.

"Pada masa yang sama juga dapat memberi penekanan kepada kelestarian dan alam sekitar di Bandar Pintar kita.

"Kami juga yakin dengan pengalaman CMIM selama 14 tahun dalam membangunkan teknologi cekap tenaga untuk menangani perubahan iklim menerusi 'Pelan Tindakan Hijau' bergerak sejajar dengan hala tuju i-City hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perusahaan CMIM, Jackie Chen Jiang Long berkata, pihaknya berbesar hari dengan komitmen i-City dengan penggunaan AI dalam pemuliharaan persekitaran.

Menurutnya, CMIM akan terus memandang ke hadapan menerusi kerjasama dengan i-City dalam membangunkan penyelesaian berasaskan ICT untuk membantu menjimatkan tenaga serta mengurangkan kesan karbon bagi melindungi ekosistem alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:33 PM