PRAMUGARI Malaysia Airlines bersama replika pesawat ketika Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di KLIA, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PRAMUGARI Malaysia Airlines bersama replika pesawat ketika Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di KLIA, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mahanum Abdul Aziz


Sepang: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd mencatatkan prestasi baik tahun ini dengan aliran tunai positif selain sumbangan kukuh perniagaan kargo serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines dan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, walaupun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik Covid-19, 2021 adalah tahun sangat baik bagi MAG.

Katanya, berdasarkan keputusan kewangan belum diaudit, pihaknya mengakhiri 2021 dengan mengatasi bajet 26 peratus dan kejayaan penstrukturan semula kumpulan penerbangan itu memperlihatkan aliran tunainya berada dalam kedudukan positif sejak Oktober tahun lalu.

Malah, katanya, beberapa parameter penting seperti Indeks Kepuasan Pengguna (CSI) mencatatkan bacaan baik, sekali gus memberi petunjuk bahawa MAG dalam landasan trajektori perniagaan jangka panjang.

"Setakat ini, jumlah terkumpul aliran tunai kami berjumlah RM2 bilion. Penyumbang kukuh kepada MAG dalam tempoh 22 bulan lalu ialah perniagaan kargo dan MRO.

"Perniagaan kargo menjana pendapatan RM3.07 bilion, meningkat sekali ganda berbanding paras sebelum iaitu 2019 sekitar purata RM1.4 bilion," katanya selepas pelancaran pemakaian lambang Harimau Malaya pada pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines, yang menandakan kerjasama erat antara Malaysia Airlines dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.

Malaysia Airlines rakan kongsi penerbangan FAM, apabila sejak 2019, syarikat penerbangan nasional itu mengendalikan penerbangan sewa khas ke bandar di luar rangkaiannya, seperti Dubai dan Manama.

Ia menyokong pasukan bola sepak kebangsaan menjalankan misi negara dengan jaminan pengalaman perjalanan pengembaraan selamat dari hujung ke hujung.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Malaysia Airlines kini mantap dan tangkas serta bersedia untuk masa depan lebih baik dengan melakukan yang terbaik untuk terus mampan dan untung.

Beliau berkata, strategi kumpulan adalah mengekalkan kedudukan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan premium bertumpu di Asia Pasifik dan pada masa sama menghubungkan ke rantau lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata, harga bahan api yang tinggi dan ketidaktentuan tukaran asing sentiasa menjadi kebimbangan kepada syarikat penerbangan itu.

Justeru, beliau berkata Malaysia Airlines sudah mengambil kira kos bahan api yang tinggi dalam bajet syarikat, namun harga semasa sudah pun mengatasi bajet yang ditetapkan itu.

"Kami akan mengambil langkah dalam mengawal keadaan itu sama ada mengimbanginya dengan pendapatan yang tinggi atau mencari jalan untuk mengurangkan kos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:10 AM