JOHARI  (dua dari kiri) bersalaman dengan  Ranjit pada perasmian Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 dan  pelancaran platform maklumat bon serta  sukuk berpusat, semalam.
JOHARI (dua dari kiri) bersalaman dengan Ranjit pada perasmian Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 dan pelancaran platform maklumat bon serta sukuk berpusat, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kerajaan terus membantu pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan mewujudkan platform Dana Pelaburan Bersama (CIF) bernilai RM50 juta daripada geran sedia ada yang diperuntukkan kepada golongan berkenaan.

Malah, kewujudan CIF yang dilaburkan kepada PKS bagi mengembangkan perniagaan mereka turut membabitkan pelabur swasta menerusi paltform Pembiayaan Ekuiti Ramai (ECF) dan Rakan Setara (Peer-to-Peer) atau P2P.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menerusi SME Corp bakal mengunakan platform berkenaan dalam tujuan penyaluran geran kepada PKS yang layak.

Beliau berkata, platform pelaburan berkenaan penting dalam industri PKS tempatan kerana ia mampu memberi peluang kepada golongan itu menerokai pasaran di Malaysia dengan memanfaatkan CIF atau P2P.

“Pelaksanaan perkara ini baru dilaksanakan akan dibantu oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) antaranya bagi menentukan kriteria pelaburan bersama untuk pembiayaan ekuiti dan berasaskan hutang.

“Menerusi dana pelaburan ini, kami berharap ia dapat menjadi mekanisme berkesan dengan membabitkan kerjasama antara pihak kerajaan dan pelabur di Malaysia bagi bersama-sama membangunkan industri PKS tempatan,” katanya selepas melancarkan Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 dan pelancaran platform maklumat bon serta sukuk berpusat di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh yang dalam ucapannya mengariskan kemajuan dibuat dalam pasaran digital sejak SC mengumumkan strategi pasaran digital pada tahun lepas bagi meningkatkan akses kepada pembiyaan, meningkatkan penyertaan pelabur, memperluas pasaran institusi dan membangunkan ekosistem sinergi.

Menurut SC, ECF dan P2P membiayai 450 cadangan perniagaan, menjana RM50 juta bagi memenuhi keperluan pembiayaan syarikat mikro PKS (SMKS). Platform itu secara khususnya lebih 70 peratus penerbit daripada wanita atau remaja sebagai pengasas dan 40 peratus daripada pelabur di bawah 35 tahun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah SC mengenai perdagangan mata wang digital, crypto, Ranjit berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan rangka kerja mengenai perkara itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya, pihaknya juga sedang meninjau beberapa perkara yang sedang dibincangkan oleh pihak pengawal selia global dan pendekatan mengenainya juga berbeza mengikut negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 3:53 AM