MARINA
MARINA
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk lebih peka terhadap kepelbagaian sokongan pembiayaan yang disediakan kerajaan dan institusi kewangan.

Sebagai bank pusat di Malaysia, BNM terus bertindak dalam memastikan PKS yang berdaya maju sentiasa berupaya memperoleh akses kepada pembiayaan bagi menjalankan perniagaan, sekali gus mempertingkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi.

Pengarah Jabatan Kewangan, Pembangunan dan Enterpris BNM, Marina Kahar berkata, menurut rekod BNM, kadar kelulusan pembiayaan kekal tinggi sekitar 80 peratus menunjukkan sokongan kukuh oleh institusi kewangan kepada PKS.

Beliau berkata, usahawan perlu lebih peka dan meningkatkan kesedaran secara komprehensif dalam mengenal pasti jenis pembiayaan disediakan kerajaan serta institusi kewangan sebelum melakukan permohonan.

“Terdapat banyak sumber pembiayaan yang boleh dipertimbangkan usahawan, namun mereka perlu bijak dalam mengatur perancangan sebelum mengemukakan permohonan seperti mengetahui syarat keperluan dan jenis pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan.

“PKS juga perlu mempunyai pelan perniagaan yang meyakinkan untuk penilaian. Ia haruslah mempunyai asas kukuh serta menunjukkan potensi untuk lebih berdaya maju,” katanya pada sesi temu bual bersama Bisnes Metro.

Setakat akhir 2015, pembiayaan kepada PKS oleh institusi kewangan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 14.6 peratus dengan pembiayaan sejumlah RM274.5 bilion disalurkan kepada 730,000 akaun PKS berbanding 13.3 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Selain itu, kualiti pembiayaan turut meningkat dengan kadar memberangsangkan iaitu nisbah pinjaman tidak berbayar atau terjejas sebanyak 14.5 peratus pada 2003 telah berkurang kepada 3.2 peratus pada akhir tahun lalu berbanding kadar 10.4 peratus yang direkodkan pada 2006.

Sementara itu, Marina berkata, segelintir usahawan yang gagal mendapat kelulusan pembiayaan disebabkan mempunyai rekod kewangan yang kurang memuaskan, tidak menyediakan dokumen lengkap dan pelan perniagaan yang relevan serta kurang keupayaan untuk membayar balik pembiayaan disebabkan hutang sedia ada yang tinggi.

Katanya, sekiranya permohonan pembiayaan daripada sesebuah institusi kewangan ditolak, PKS boleh meminta penjelasan penolakan daripada institusi kewangan terbabit supaya mereka boleh mengatasi dan memperbaiki kekurangan atau kelemahan berkenaan, seterusnya meningkatkan peluang untuk permohonan pembiayaan yang lain.

Marina turut menekankan PKS memberikan komitmen dalam pembayaran balik pembiayaan mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan institusi kewangan untuk memastikan rekod kredit yang baik. Sekiranya mempunyai masalah pembayaran pembiayaan, PKS dinasihatkan segera berbincang dengan pihak bank untuk penjadualan semula pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 7:29 AM