Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Kuala Lumpur: Perodua berjaya mencapai pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan paras tertinggi pada November apabila syarikat kereta kompak nasional itu bergerak pantas memenuhi setiap permintaan.

Dari segi jualan, Perodua menjual 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini, melepasi sasaran tahunan keseluruhannya sebanyak 247,800 unit yang diumumkan pada awal tahun dan mencapai jualan tertinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian jualan ini adalah seiring dengan pencapaian pengeluaran setakat tahun ini, yang berjumlah 258,960 unit.

"Kami juga berjaya mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan kami iaitu sebanyak 29,149 unit.

"Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat; yang pertama ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di Perodua mahupun pembekal di dalam ekosistem kami.

"Yang kedua ialah melalui pencapaian ini, kami kini menyedari bahawa kami boleh meningkatkan lagi operasi dalam jualan dan pengeluaran tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan.

"Oleh itu, kami akan terus melabur dalam menaik taraf operasi kami sebagai satu kumpulan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran warga kami.

"Kami juga akan bekerjasama secara rapat dengan pembekal dan pengedar kami untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran-cabaran yang mendatang," katanya dalam kenyataan.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan Perodua meningkat sebanyak 50 peratus kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan jualan berbanding tempoh sama tahun lalu adalah disebabkan oleh penutupan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun 2021.

Jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, iaitu peningkatan 40.9 peratus jika dibandingkan dengan 20,299 unit yang dijual pada November 2021, dan peningkatan 10.6 peratus jika dibandingkan dengan 25,849 unit yang dijual pada Oktober tahun ini.

Tiga model teratas Perodua yang dijual pada November ialah Bezza dengan 8,089 unit, diikuti Myvi (6,624 unit) dan Axia (5,812 unit).

"Kami akan meneruskan momentum jualan dan pembuatan kami untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Perodua mereka dengan lebih cepat serta memastikan mereka yang menempah kenderaan Perodua dalam tempoh masa pengecualian cukai jualan akan mendapatkan kereta mereka sebelum 31 Mac 2023.

"Kami juga akan mengumumkan jumlah sebenar keseluruhan pada Januari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 1:04 PM