AFFIN Bank komited utama keperluan pelanggan.
AFFIN Bank komited utama keperluan pelanggan.

AFFIN Bank Berhad (Affin Bank) dianugerahkan 'Penganugerahan Tertinggi: Pengalaman Pelanggan (CX) Digital Cemerlang – Perbankan PKS' untuk aplikasi mudah alih digital SME Colony sempena Digital CX Awards 2021 yang dianjurkan oleh The Digital Banker Singapura.

Ini adalah tahun kedua Affin Bank menerima pengiktirafan di bawah kategori sama, mengatasi institusi kewangan dan organisasi teknologi kewangan (fintech) lain.

Digital CX Awards mengiktiraf Organisasi Perkhidmatan Kewangan terkemuka di dunia yang menyatukan teknologi terbaik dan inovasi dengan bakat sumber manusia untuk memberikan pengalaman pelanggan terunggul serta impak positif kepada industri.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, sebagai penyedia kewangan yang komited dalam mengutamakan keperluan pelanggan, pihaknya sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan secara berterusan dari semua aspek untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik.

"Anugerah berprestij ini adalah bukti dedikasi kami dalam menyediakan sebuah platform digital yang menyeluruh untuk segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi menggalakkan pertumbuhan dan kelestarian perniagaan serta membantu mereka mengharungi pandemik ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, aplikasi mudah alih yang dihasilkan Affin Bank bertujuan untuk menyokong PKS dalam setiap kitaran perjalanan mereka bermula daripada penubuhan syarikat pemula niaga sehingga menjadi entiti perniagaan matang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 7:05 AM