HILMI  menunjukkan pelbagai pilihan koleksi barangan ibu dan bayi di Mom’s House Central i-City Mall, Seksyen 7.
HILMI menunjukkan pelbagai pilihan koleksi barangan ibu dan bayi di Mom’s House Central i-City Mall, Seksyen 7.

JENAMA Bumiputera yang memasarkan barangan keperluan ibu dan anak, Mom's House merancang membuka dua lagi cawangan selepas mengendalikan lapan cawangan di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hilmi Hamid berkata, walaupun berdepan pandemik Covid-19 namun pihaknya berjaya membuka cawangan baharu kerana mendapat permintaan tinggi.

"Kami kini dalam proses menambah dua lagi cawangan Mom's House di Lahad Datu, Sabah dan Kuantan, Pahang.

"Alhamdulillah selepas hampir tujuh tahun dalam perniagaan, kami dapat menambah cawangan walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 kerana ada permintaan membuka cawangan di sana.

"Rezeki itu kita tidak dapat jangka, apabila buka di Sabah, seterusnya dapat buka di tempat lain pula.

"Penambahan ini menjadi motivasi kepada kami untuk menjadi peneraju dalam segmen barangan keperluan ibu dan bayi," katanya.

Mom's House adalah antara usahawan yang menyertai program francais di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Menurut Hilmi, Mom's House lebih mengetengahkan produk keperluan ibu seperti bengkung, tilam serta bantal bagi ibu hamil.

Katanya, pihaknya turut mempunyai barangan bagi keperluan bayi supaya dapat mempelbagaikan lagi produk di Mom's House.

"Lebih menarik lagi, produk keluaran Mom's House seperti bengkung dan barut dihasilkan kilang kami di Kemaman, Terengganu.

"Kami juga dalam perancangan membesarkan kilang supaya dapat menambahkan lagi pengeluaran produk," katanya.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-717 2858.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 8:11 AM