Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membayar dividen berjumlah RM9.9 bilion kepada pemegang sahamnya dan RM7 bilion lagi kepada institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, TNB bertanggungjawab kepada pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada institusi-institusi pelabur yang mana pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.

Katanya, TNB akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan peranannya sebagai syarikat tersenarai yang memberikan pulangan setimpal kepada rakyat menerusi institusi GLIC.

"Bagi 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 bilion kepada pemegang sahamnya dan RM7 bilion lagi kepada GLIC. Ini satu jumlah besar dan besar manfaatnya kepada rakyat," katanya dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, di sini, hari ini.

Beliau merujuk keupayaan TNB memberikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada pelabur termasuk GLIC, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional.

Hasan dilantik menjadi pengerusi TNB pada 1 Oktober menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Dalam pertemuan itu Hasan diberikan taklimat oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din mengenai prestasi TNB merangkumi pencapaian sepanjang lebih 72 tahun, pelaksanaan aspirasi Reimagining TNB, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), komitmen hala tuju kelestarian dan cabaran pandemik serta cabaran-cabaran baru masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 4:19 PM