PENGUNJUNG yang lengkap dua dos vaksin membeli- belah di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu   ketika tinjauan, semalam.
PENGUNJUNG yang lengkap dua dos vaksin membeli- belah di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu ketika tinjauan, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PERALIHAN Malaysia kepada fasa endemik jika dapat dicapai akhir Oktober depan bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat pada suku keempat ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, endemik akan membenarkan kegiatan ekonomi dibuka dengan lebih luas berbanding ketika ini.

Katanya, banyak sektor ekonomi akan dibenarkan semula dengan kawalan prosedur standard operasi (SOP) dan dibuka kepada mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.

"Sekiranya endemik berjaya dicapai akhir Oktober depan, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat pada suku keempat tahun ini dan akan menjadi titik tolak pemulihan ekonomi negara.

"Sekiranya ia berlaku, kumulatif keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara sehingga Jun lalu yang direkodkan -2.0 peratus akan berada pada unjuran lingkungan sasaran KDNK keseluruhan tahun ini iaitu 3.0 peratus.

"Bagaimanapun, ia amat bergantung kepada pembukaan ekonomi seperti kebenaran merentas negeri yang turut membolehkan sektor pelancongan tempatan kembali bernafas.

"Pembukaan semula Langkawi sebagai pusat pelancongan akan dipantau sepenuhnya dan jika ia berjaya maka formula baharu terbabit akan dilanjutkan ke pusat peranginan lain di Malaysia.

"Apatah lagi Disember nanti ramai yang mahu membawa keluarga melancong selepas terkurung di rumah sejak awal tahun lagi," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, apabila kerajaan mengisytiharkan endemik bermakna negara sudah mencapai imuniti kelompok sebagaimana negara lain seperti United Kingdom yang sudah mencapainya lebih awal dan membuka kegiatan ekonomi dengan berjaya.

Beliau berkata, di China juga situasi yang sama dapat dilihat dan tidak dinafikan jangkitan masih berlaku apatah lagi dengan varian baharu seperti Delta, Lambda dan Mu, tetapi kadar kematian amat rendah di negara yang mencapai imuniti kelompok.

"Soalnya sampai bila kita rakyat Malaysia mesti terkurung di rumah. Covid-19 tidak akan pergi semudah dijangka, ini terbukti sudah hampir dua tahun ia berlarutan.

"Kegiatan ekonomi perlu dibuka semula dengan mengambil kira pematuhan kepada SOP.

"Ia umpama kita tetap 'menghormati' Covid-19 kerana kesannya, tetapi kita tidak perlu terlalu takut sehingga tidak boleh mencari makan dan berani untuk bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:55 AM