SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd di Sungai Petani, Kedah.
SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd di Sungai Petani, Kedah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


IMPAK pertumbuhan ekonomi negara ketika ini bergantung kepada berapa banyak jumlah vaksinasi diberikan kepada keseluruhan rakyat.

  Prof Madya Ts  Dr Anuar  Shah  Bali  Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, vaksinasi berperanan sebagai serampang dua mata.

  "Iaitu penyelesaian kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang membantu meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan memulihkan ekonomi negara dengan lebih banyak sektor ekonomi dibuka dan membantu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

  "Malaysia bukan satu-satunya negara yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19.

  "Walaupun kes jangkitan terus meningkat iaitu 17,045  kes direkodkan pada 25 Julai lalu, peningkatan ini turut berlaku di kebanyakan negara lain disebabkan varian baharu yang lebih cepat merebak, antaranya varian Delta," katanya kepada Bisnes Metro.

  Menurutnya, impak kepada pertumbuhan ekonomi negara banyak bergantung kepada jumlah vaksinasi diberikan dan pada waktu ini jumlah vaksinasi di Malaysia berada pada tahap baik.

  Beliau berkata, ini kerana peningkatan kes berlaku di kebanyakan negara sekarang dan elemen penyelesaian kepada KDNK dan pertumbuhan ekonomi adalah berdasarkan kepada secepat mana Malaysia mencapai imuniti kelompok.

  "Seperti dimaklumkan kes Covid-19 serta kadar kemasukan ke hospital dijangka menurun Ogos ini, apabila 40 peratus populasi penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

  "Perkara ini tidak mustahil kerana vaksinasi besar-besaran dijalankan di dalam negara apabila kita boleh lihat bagaimana inisiatif diambil kerajaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) berjaya meningkatkan bilangan dos vaksinasi hampir 17 juta dos.

   "Selain itu, pelan Pemulih (Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) juga berada di landasan yang betul dan satu-satunya cara sekarang adalah dengan meneruskan usaha melaksanakan vaksinasi secara meluas dan mengelak daripada perkara lain yang bakal memburukkan keadaan.

  "Sebagai contoh yang berlaku di negara seperti Perancis, Brazil, Australia, Itali dan Greece baru-baru ini apabila demonstrasi dilakukan secara besar-besaran yang memberikan kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi dalam negara terbabit yang masih bergelut untuk menangani Covid-19.

  "Justeru, usaha kerajaan melaksanakan vaksinasi besar-besaran perlu diteruskan sehingga Malaysia mencapai imuniti kelompok yang bakal dikecapi tidak lama lagi.

  "Sokongan rakyat Malaysia diperlukan untuk memastikan negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:36 AM