Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Perodua mencatatkan peningkatan pendaftaraan kenderaan sebanyak 42 peratus pada Ogos kepada 26,039 unit daripada 18,346 unit pada Julai lalu disebabkan bekalan komponen automotif yang semakin pulih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua akan berusaha untuk meningkatkan lagi angka berkenaan demi mengurangkan masa menunggu pelanggan.

"Perodua juga mencapai tahap pengeluran terbaik tahun ini sebanyak 28,036 unit dan jumlah ini membolehkan kami meningkatkan pendaftaran model-model kami.

"Perodua Bezza adalah model paling popular dengan 6,808 unit didaftarkan, diikuti Myvi (6,252 unit) dan Axia (4,857 unit).

"Perodua Alza Baharu pula menerima 51,000 tempahan setakat ini dengan pendaftaran baharu sebanyak 7,682 unit pada bulan Julai dan Ogos lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peningkatan dalam pengeluaran dan pendaftaran Perodua bagi bulan Ogos disebabkan gangguan bekalan cip semikonduktor dan juga kekurangan pekerja di operasi pembekal pada bulan sebelumnya.

"Namun, isu berkenaan telah berjaya diatasi," katanya.

Katanya, Perodua juga sedang mengkaji kesan peningkatan harga bahan mentah ketika ini.

"Pada masa sama, Perodua dan syarikat-syarikat pembekal komponen sedang bekerjasama untuk mengatasi isu kenaikan kos yang sedang melanda," katanya.

Jualan Perodua dari Januari hingga Ogos tahun ini melonjak sebanyak 63.7 peratus kepada 171,728 unit berbanding 104,933 unit pada tempoh sama tahun lalu.

Kenaikan jualan ini disebabkan oleh perintah berkurung yang dikuatkuasakan dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021 untuk membendung penularan kes Covid-19 ketika itu.

"Dari Januari hingga Ogos tahun ini, Perodua Myvi masih kekal model paling laris kami di mana 48,658 unit telah didaftarkan, diikuti Bezza (39,642 unit) dan Axia (37,013 unit)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 8:07 PM