Kuala Lumpur: DRB-HICOM Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 4.4 peratus kepada RM10.48 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM10.03 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

DRB-Hicom dalam kenyataan berkata, keuntungan sebelum cukai kumpulan bagaimanapun, menyusut kepada RM457.7 juta berbanding RM504.3 juta sebelumnya disebabkan oleh promosi automotif yang tinggi serta tawaran insentif akhir tahun 2014.

“Kumpulan juga telah selesai mengambil alih Gading Sari Aviation Services Sdn Bhd pada 29 Januari 2015. Pengambilalihan ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perniagaan logistik kerana kini kami berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan perkhidmatan logistik udara, laut dan darat yang lengkap kepada pelanggan dan pada masa sama dapat mengukuhkan perkhidmatan kami sebagai penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terkemuka di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, memandangkan keadaan ekonomi global semasa yang melanda dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kumpulan menjangkakan kelembapan dalam permintaan dan jualan kenderaan bermotor dan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:03 AM