GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) akan menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, sejajar dengan keperluan masa kini, usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif walaupun GLIC menjadi tonggak pembangunan ekonomi Malaysia sejak enam dekad lalu.

"Perkukuh adalah platform tepat bagi Malaysia untuk menghadapi krisis masa kini.

"Tidak dinafikan pandemik ini memberi cabaran hebat, namun kita telah mengatasi pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini dan kini sudah tiba masanya untuk GLIC menerajui fasa transformasi baru bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perkukuh juga memberi peluang untuk TH menyusun semula dan memperkukuhkan urus tadbir dan kedudukan kewangan.

Sebagai satu-satunya pengurus perkhidmatan haji Malaysia, TH sudah meluaskan skop kepakarannya dengan membantu 1.5 juta rakyat Malaysia menunaikan haji sejak1963 dan diiktiraf di peringkat dunia sebagai perkhidmatan haji cemerlang.

TH juga memiliki pengalaman dan kepakaran 58 tahun dalam bidang Syariah, merangkumi aspek operasi dan pelaburan.

Inisiatif Perkukuh dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini untuk menguatkan fokus dan memberi penekanan terhadap mandat khusus bagi dana kekayaan berdaulat dan inistitusi pelaburan rakyat, termasuk TH.

Di bawah Perkukuh, TH akan melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi TH dan pendeposit, menambahbaik operasi dan kecekapan serta menjana keuntungan dan pulangan yang berterusan kepada pendeposit bagi memastikan kelangsungan kewangan.

Di bawah inisiatif Perkukuh, syarikat-syarikat akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Dana Kekayaan Negara, yang merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Manakala, kategori Pelabur Institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP,) Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah untuk menetapkan mandat, strategi dan pengurusan liabiliti aset GLIC yang terbabit dengan lebih baik dan jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:01 PM