Kuala Lumpur: CIMB Group berada di kedudukan teratas dua jadual liga iaitu Senarai Penggabungan dan Pengambialihan (M&A) dan Pasaran Modal Hutang (DCM) Bloomberg serta Pasaran Modal Ekuiti (ECM) Dealogic, bagi 2014.

Pemangku Ketua Eksekutif CIMB Group Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan terbabit jelas mencerminkan kekukuhan serta kemampuan bank berkenaan biar pun berdepan persekitaran pasaran modal kewangan yang lemah.

“Kami berada pada kedudukan yang baik dan hubungan akrab dengan pelanggan hanya memastikan lagi kejayaan kami sebagai peneraju segmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

CIMB turut terbabit dalam urus niaga utama pada 2014 termasuk M&A membabitkan pengambilalihan Newfields Malaysia Holding Bhd oleh SapuraKencana Petroleum Bhd bernilai US$898 juta (RM3.05 bilion).

Ia termasuk kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd memperoleh pegangan 40 peratus bagi dua lapangan terbang Turki iaitu Sabiha Gokcen di Istanbul dan LGM Havalimani serta perolehan RM2.6 bilion oleh Goldis Bhd bagi kepentingan ekuiti dalam IGB Corporation Bhd.

Bagi segmen ECM, kejayaan urus niaga bank itu membabitkan tawaran awam permulaan (IPO) UMW Oil & Gas Corporation Bhd bernilai RM2.7 bilion serta IPO 7-Eleven Bhd bernilai RM834 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:25 AM