Adnan Mat
Adnan Mat
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan untuk menghentikan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan masalah kewangan dalam kalangan pesara kelak.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan perkembangan semasa membabitkan ekonomi negara yang semakin pulih di samping rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan sekali gus membolehkan mereka untuk kembali melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing menyebabkan kemudahan tersebut sudah tidak lagi relevan malah boleh memberikan impak yang negatif jika perkara itu masih lagi diteruskan.

"Data daripada KWSP yang memaklumkan 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan boleh memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.

"Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

"Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya berdasarkan data yang diperoleh daripada KWSP, 50 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

Sebelum ini, bagi mengurangkan beban kewangan rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda, kerajaan membenarkan beberapa siri pengeluaran wang simpanan KWSP melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:07 PM