ISKANDAR Mizal (kiri) dan  Mohamad Abdullah.
ISKANDAR Mizal (kiri) dan Mohamad Abdullah.
Shahrizan Salian


MEDIA Prima Bhd, syarikat media bersepadu sepenuhnya di Malaysia, melantik dua ahli Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa hari ini.

Datuk Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan dan melapor kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima.

Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dengan pelbagai syarikat bermula dari syarikat multinasional hingga ke syarikat berkaitan kerajaan, meliputi sektor perbankan pelaburan hingga ke sektor teknologi.

Iskandar Mizal akan membawa pengalaman bersamanya untuk membantu kumpulan dalam inisiatif transformasi syarikat dan pemulihannya.

Beliau kini adalah ahli Lembaga Pengarah di Theta Edge Bhd dan Globetronics Technology Bhd dan terdahulu, pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd dan Pengarah Kumpulan DRB-HICOM Bhd.

Iskandar Mizal memulakan kerjayanya di Arthur Andersen & Co pada 1989, dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Boston, Amerika Syarikat (AS), pengkhususan dalam bidang Perakaunan.

Dalam masa sama, Media Prima turut melantik Mohamad Abdullah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

Mohamad kini adalah Pengarah Urusan, Percetakan Nasional Malaysia Bhd.

Beliau juga adalah Pengerusi MPH Group (M) Sdn Bhd dan TMR Media Sdn Bhd, dan memegang jawatan sebagai pengarah dalam beberapa syarikat swasta di dalam Kumpulan Syarikat Al-Bukhary.

Mohamad mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan korporat dan perbankan pelaburan.

Beliau memulakan kerjaya perakaunannya sebagai pembantu audit di Azman, Wong, Salleh & Co pada 1984 dan kemudiannya menyertai Arab-Malaysian Merchant Bank Bhd.

Mohamad berkelulusan dari Universiti Bath, United Kingdom, dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata pelantikan baharu ini mencerminkan komitmen Media Prima untuk melaksanakan tindakan strategik bagi mempercepatkan lagi visi kumpulan untuk menjadi syarikat kandungan dan perdagangan digital yang utama di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 7:13 PM