Shopee
Shopee
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kira-kira sejuta belia sudah menebus kredit eBelia menerusi dompet mudah alih (e-dompet) ShopeePay dan ia menjana jualan kepada kira-kira 140,000 penjual dan peniaga dalam dan luar talian.

Program eBelia menawarkan kredit RM150 dibuka untuk pendaftaran kepada golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa yang berdaftar dalam kursus setaraf dengan diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, sebagai antara e-dompet terbaharu di pasaran, kemudahan pembayaran elektronik itu menerima sokongan luar biasa daripada peserta program eBelia yang layak.

Katanya, setakat 7 Jun lalu, kredit yang ditebus belia di seluruh negara berjaya menjana jualan mencecah 120 peratus daripada jumlah keseluruhan disalurkan kerajaan menerusi ShopeePay.

"Apabila dibandingkan dengan pengumuman kerajaan, sebahagian besar daripada 1.7 juta pemohon yang berjaya memilih ShopeePay. Ini mungkin kerana e-dompet kami boleh digunakan di saluran dalam talian dan juga luar talian di seluruh negara.

"Penggunaan ShopeePay menjangkau sehingga ke Semporna, Sabah; Miri, Sarawak; Kemaman dan Gong Badak di Terengganu dan Bachok, Kelantan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, daripada jumlah pemohon eBelia berjaya yang menggunakan dompet mudah alih itu, hampir 40 peratus adalah pengguna baharu ShopeePay yang mengaktifkan e-dompet mereka semata-mata untuk eBelia.

Beliau berkata, berdasarkan data awal dari 1 hingga 7 Jun, tingkah laku pengguna dalam kalangan penerima eBelia mencerminkan bahawa program ini memacu penggunaan e-dompet, dan berkemungkinan tinggi akan membawa kepada penggunaan jangka masa panjang.

"Kami positif bahawa kadar pengekalan pelanggan dalam kalangan pengguna baharu ini akan menjadi tinggi kerana lebih daripada 20 peratus sudah menambah nilai dompet ShopeePay mereka sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu mereka menggunakannya.

"Kebanyakan menggunakan kredit eBelia untuk membuat pembelian yang praktikal iaitu keperluan harian, makanan serta minuman, buku, kelengkapan rumah dan lain-lain," katanya.

Yee berkata, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan, eBelia masih dibuka untuk 250,000 penebusan lagi.

"Penuntut yang berjaya bukan sahaja menerima kredit e-dompet bernilai RM150 melalui ShopeePay, malah kami juga menjamin baucar tambahan bernilai RM500 daripada jenama menarik seperti Amazin' Graze, Caltex, FamilyMart, MR DIY, Nestle, Philips dan Starbucks.

"Jadi, jangan lepaskan peluang ini. Ini juga akan banyak membantu peniaga tempatan kami," katanya.

Selain itu, Shopee juga menawarkan baucar Penghantaran Percuma, Pulangan Syiling Shopee serta baucar ShopeePay Deals Near Me kepada belia untuk memberikan nilai yang lebih hebat.

Untuk menuntut kredit eBelia RM150 melalui ShopeePay dan mendapat baucar tambahan bernilai RM500 yang dijamin, layari https://shopee.com.my/m/ebelia-claim.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 3:38 PM