Kakitangan TH menunjukkan aplikasi telefon pintar Tabung Haji (TH) yang dikenali dengan nama THiJARI untuk segala urusan berkaitan dengan Tabung Haji secara atas talian melalui telefon pintar. FOTO AIZUDDIN SAAD
Kakitangan TH menunjukkan aplikasi telefon pintar Tabung Haji (TH) yang dikenali dengan nama THiJARI untuk segala urusan berkaitan dengan Tabung Haji secara atas talian melalui telefon pintar. FOTO AIZUDDIN SAAD
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan pendepositnya untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian, THiJARI sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad berkata, THiJARI adalah perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lalu bagi memudahkan pendeposit melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang dan perkhidmatan berkaitan haji.

"Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai, mesin deposit tunai dan perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada masa sama, pengguna kini boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara dalam talian dan masa nyata tanpa perlu hadir ke cawangan TH melalui THiJARI.

Katanya, pendeposit juga boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX dengan melayari laman sesawang www.thijari.com.my atau aplikasi THiJARI untuk menggunakan perkhidmatan baharu itu secara percuma.

Pada awal bulan ini, simpanan terkumpul TH terus berkembang sihat kepada paras tertinggi sebanyak RM80 bilion dengan jumlah pendeposit aktif kira-kira sembilan juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 2:21 PM