Ekhwan Haque Fazlul Haque

SEIRING dengan perkembangan teknologi Revolusi 4.0, Tabung Haji (TH) tampil dengan platform perkhidmatan dalam talian yang memudahkan lebih sembilan juta pendepositnya.

Menerusi https://www.thijari.com.my , pendeposit kini boleh menyemak akaun, mencetak penyata serta menguruskan pindahan wang, perkhidmatan haji dan Kelab TaHa (Kelab Tabung Haji) secara dalam talian.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH sentiasa memperkenalkan inisiatif baru untuk menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pendeposit.

Menurutnya, menerusi platform terbaharu ini, TH juga akan berkolaborasi bersama bank tempatan selain mempunyai lebih 10,000 titik sentuh rakan strategik seluruh negara yang membolehkan pendeposit melakukan transaksi tanpa hadir ke kaunter TH.

“TH perlu lebih agresif menyediakan perkhidmatan berteknologi untuk kekal relevan. 45 peratus pendeposit adalah generasi muda yang mahir dengan teknologi terkini.

“Gabungan ini mempunyai jangkaan tinggi dan kehendak mereka wajar diberikan pertimbangan untuk meluahkan pandangan atas perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Platform Perkhidmatan Digital ‘Thijari’ di Kuala Lumpur, hari ini.

NIK Mohd Hasyudeen (kanan) diiringi  Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi (kiri) dan Ketua Pegawai Strategik dan Ketua Staf TH, Hizamuddin Jamaluddin (dua kiri) melancarkan THiJARI. FOTO Saifullizan Tamadi
NIK Mohd Hasyudeen (kanan) diiringi Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi (kiri) dan Ketua Pegawai Strategik dan Ketua Staf TH, Hizamuddin Jamaluddin (dua kiri) melancarkan THiJARI. FOTO Saifullizan Tamadi

Sempena pelancaran itu juga, TH memperkenalkan Kempen #simpandaftardanmenang untuk menarik minat orang ramai untuk menyimpan dan menambah simpanan selain mendaftar haji.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah pakej umrah dan wang tunai berjumlah RM300,000 dengan syarat membuka akauan atau menambah simpanan sebanyak RM5,000 serta mengekalkan jumlah simpanan berkenaan untuk tempoh kempen bermula Mei hingga Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohd Hasyudeen berkata, TH akan mengumumkan dividen 2019 dalam tempoh terdekat namun tidak dapat mendedahkan jumlah yang bakal diperoleh pendeposit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 1:40 PM