MOHAMED Hassan Kamil. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Hassan Kamil. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) akan meneruskan agenda digitalnya dalam mengukuhkan usaha membina jenamanya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, ini termasuk memperkenalkan penyelesaian perlindungan dalam talian yang inovatif, meningkatkan keupayaan pengedaran, kerjasama strategik bersama institusi kewangan Islam terkemuka, pelaksanaan program hubungan bersama para pelabur dan strategi pemasaran yang lebih maju.

"Tumpuan kami adalah untuk mengekalkan kos yang lebih rendah, pengawasan imbangan kira-kira yang lebih baik dan pengurusan pertumbuhan perniagaan kami, keuntungan serta kedudukan kewangan yang lebih mantap," katanya dalam Laporan Tahunan 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, Takaful Malaysia akan melaksanakan penembusan perniagaan dan strategi pengekalan sebagai penyedia penyelesaian faedah takaful profesional dan terkemuka (EB) dalam menguruskan kos perubatan dengan perkhidmatan tambahan nilai secara menyeluruh.

"Pelanggan korporat yang mungkin mengalami masalah kewangan boleh memilih untuk menyusun semula program EB mereka dengan faedah yang minimum dan liputan yang kritikal sahaja bagi mengurangkan komitmen sumbangan EB mereka," katanya.

Beliau menjelaskan syarikat itu juga menggunakan pendekatan jangka panjang untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan takafulnya dan meningkatkan penembusan pasaran di dalam portfolio produk motor dan bukan motor.

Mohamed Hassan berkata, sektor takaful akan mempertahankan pertumbuhan pasaran memandangkan unjuran penggunaan swasta yang lebih berdaya tahan dan kadar penembusan yang rendah yang dipacu oleh strategi serta program pelaburan yang beretika, peluang pertumbuhan yang lebih besar, peningkatan tahap kesedaran dan persaingan pasaran yang lebih tinggi serta permintaan yang stabil dalam sektor perbankan dan kewangan Islam.

Katanya, gabungan usaha dan inisiatif oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) untuk meningkatkan kesedaran dan program interaktif kepada para pelanggan secara digital dan platform media sosial akan kekal sebagai keutamaan dalam mempromosikan insurans Islam.

"Lebih banyak inisiatif akan dilakukan pada tahun 2021 untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan takaful secara kreatif yang bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai hakikat takaful dan pentingnya perlindungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 4:32 PM