MOHD Redzuan (kiri) dan Timbalan Presiden Takaful Keluarga MTA, Wan Saifulrizal Wan Ismail pada pelancaran laporan interim Program Rangka Tindakan Sektor Kewangan (FSB) Takaful 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
MOHD Redzuan (kiri) dan Timbalan Presiden Takaful Keluarga MTA, Wan Saifulrizal Wan Ismail pada pelancaran laporan interim Program Rangka Tindakan Sektor Kewangan (FSB) Takaful 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kadar penembusan takaful di Malaysia diunjurkan mampu mencecah 40 peratus menjelang 2027 berbanding 20 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Redzuan Mohamed berkata, kadar penembusan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia semakin memberangsangkan.

Katanya, MTA melihat melalui inisiatif oleh pemain industri takaful, kadar penembusan di Malaysia mampu meningkat sekali ganda kepada 40 peratus.

"Ketika ini, 46 peratus rakyat Malaysia belum mempunyai sebarang perlindungan.

"Kami berpendapat terdapat pasaran khusus untuk takaful yang kebanyakannya merangkumi mereka dalam kumpulan pendapatan 40 terbawah (B40) dan kumpulan berpendapatan 40 pertengahan (M40) seperti ibu bapa muda dan pekerja gig yang tidak dilindungi dari segi kewangan.

"Kami merasakan takaful mempunyai cadangan yang baik untuk golongan ini kerana walaupun strategi kami tertumpu untuk menjadikan takaful lebih menguntungkan, kami juga ingin menyumbang semula kepada masyarakat bagi memastikan jurang kewangan semakin rapat.

"Banyak perancangan kami adalah mengenai celik kewangan dan meningkatkan kesedaran kewangan kepada rakyat Malaysia," katanya pada taklimat media mengenai pelancaran laporan interim Program Rangka Tindakan Sektor Kewangan (FSB) Takaful di sini, semalam.

Menurutnya, takaful kini menguasai 20.1 peratus daripada pasaran insurans negara pada 2022 dan menyasarkan untuk berkembang kepada 51 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang menerusi pelan strategik Hijrah 2027.

MTA mengeluarkan laporan interim mengenai Program Takaful FSB 2023 yang menekankan kemajuan yang dicapai ke arah pertumbuhan yang mampan untuk industri.

Laporan interim menyelidik secara mendalam tentang pencapaian pengendali takaful, meneliti pencapaian penting projek dan hasil yang diharapkan berdasarkan latar belakang pengantaraan berasaskan nilai untuk takaful (VBIT) dan kontinum kematangannya.

Rangka Kerja VBIT telah dikeluarkan oleh industri takaful pada 2021, diikuti dengan Pelan Hala Tuju VBIT pada 2022.

Program Takaful FSB kini dalam fasa pelaksanaan dan kumpulan kerja mencapai kemajuan yang ketara dalam semua teras strategik melalui 11 kumpulan kerja yang menyelia pelbagai aspek rangkuman kewangan, daya tahan evonomik, pendigitalan, kemampanan dan daya tahan iklim, dan kepimpinan kewangan Islam.

"Kami menjangkakan penggunaan agenda VBI akan memacu industri ke arah ekosistem kewangan yang mampan.

"Program Takaful FSB akan terus memainkan peranan penting dalam memacu industri ke hadapan dan akan terus berbuat demikian," katanya.

Program Takaful FSB ialah inisiatif komprehensif oleh MTA, bertujuan untuk menyelaraskan dan mengharmonikan sasaran FSB 2022-2026 Bank Negara Malayia (BNM) dan pelan hala tuju VBIT.

Ia memberi tumpuan kepada memastikan kemampanan, kestabilan dan pertumbuhan berterusan industri takaful.

Laporan penuh akan tersedia pada suku pertama 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:01 AM