Pejabat Honda Malaysia.
Pejabat Honda Malaysia.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia memanggil semula beberapa model kenderaan di negara ini bagi penggantian pam bahan api sebagai langkah pencegahan keselamatan awal.

Ia membabitkan sebanyak 77,708 unit daripada model Accord (2018, 2019), BR-V (2018, 2020), City (2019), City HEV (2019), Civic (2018, 2019), CR-V (2019, 2020), HR-V (2018), HR-V HEV (2018), Jazz (2019, 2020) dan Jazz HEV (2019, 2020).

Honda Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya kesal dengan kesulitan yang timbul dan memberi keyakinan bawah proses ini tidak membabitkan model terkini yang dijual di pasaran.

"Pelanggan berkaitan akan dihubungi melalui surat dan disertakan dengan maklumat panggilan semula produk.

"Mereka yang ingin mengetahui sama ada kenderaan dimiliki terbabit atau tidak boleh menggunakan aplikasi HondaTouch," katanya.

Menurutnya, kepada pemilik kenderaan yang terbabit dalam proses ini, Honda Malaysia menggesa pelanggan untuk melakukan janji temu di pengedar sah Honda selepas menerima pemberitahuan untuk proses penggantian bergantung kepada alatan yang tersedia.

"Semua kos penggantian pam bahan api adalah percuma yang ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia dengan stok penggantian akan didapati secara berperingkat," katanya.

Untuk rekod, sehingga ke hari ini tiada lagi kes kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh komponen itu berlaku di negara ini.

Maklumat lanjut mengenai panggilan semula ini boleh dilakukan menerusi aplikasi HondaTouch atau hubungi Talian Bebas-Tol Honda 1-800-88-2020 atau log masuk ke www.honda.com.my/productrecall.honda.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 3:32 PM