LAZAT Bazaar dianjurkan sepanjang Ramadan bagi membantu memberangsangkan perniagaan penjaja kecil.
LAZAT Bazaar dianjurkan sepanjang Ramadan bagi membantu memberangsangkan perniagaan penjaja kecil.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia menganjurkan pesta makanan dalam talian, Lazat Bazaar sepanjang bulan Ramadan untuk membantu memberangsangkan perniagaan penjaja kecil dan membolehkan masyarakat berbuka puasa dengan juadah dari gerai kegemaran mereka.

Lazada juga akan menyediakan khidmat penghantaran hari sama bagi pesanan makanan yang dimasak dan disediakan terus dari bazar Ramadan di kawasan tertentu di Lembah Klang.

Ketua Trafik, Lazada Malaysia, Susan Too berkata, ramai peniaga bazar yang mencari rezeki pada bulan Ramadan untuk menyara hidup mula bimbang akan kehilangan jualan ekoran pandemik semasa.

"Menerusi Lazat Bazaar ini, kami ingin meringankan beban penjual dengan membawa perniagaan mereka ke dalam talian dan menyokong mereka menerusi pendedahan di platform e-dagang kami. Inisiatif ini bukan sahaja akan menjamin kesinambungan, tetapi juga membantu perniagaan mereka berkembang maju pada tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Dari 13 April hingga 13 Mei, semua pesanan makanan panas dan produk bakeri segar yang dibuat di bazar dalam talian sebelum jam 4 petang akan dihantar pada hari sama.

Pengguna boleh mengunjungi laman berkenaan dengan menaip kata kunci 'Lazat Bazaar' atau klik pada ikon Food & Beverage di laman utama aplikasi Lazada, dan juga menerusi pautan di: http://lzd.co/LazadaMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:30 AM