DR Wan Junaidi
DR Wan Junaidi

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan memastikan prestasi peserta yang menyertai program latihan serta bimbingan anjuran Institut Keusahawanan Negara (Insken) sentiasa dipantau bagi memastikan usahawan berada di landasan yang betul.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Insken melaksanakan pemantauan ini melalui salah satu aplikasi yang dikenali sebagai iPro untuk memastikan prestasi usahawan tidak tersasar dan dapat diberikan bantuan segera, jika diperlukan.

"Sehingga hari ini, pencapaian cemerlang usahawan yang menghadiri program latihan dan bimbingan Insken masih dapat dikekalkan dengan purata peningkatan jualan minimum sebanyak 20 peratus.

"Lebih membanggakan apabila ada usahawan yang berjaya merekodkan peningkatan jualan melebihi 200 peratus selepas menyertai program anjuran Insken," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, program anjuran Insken yang bersifat bimbingan amat bersesuaian untuk usahawan termasuk yang baharu menceburi bidang itu.

Kementeriannya yakin dapat menghasilkan lebih ramai usahawan yang berjaya melalui pelbagai program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Insken.

Wan Junaidi berkata, Insken turut menyasarkan mempersiapkan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi situasi pasca Covid-19.

Sejak Mac lalu, Insken melaksanakan dua sesi interaksi keusahawan bersama Wan Junaidi secara fizikal yang dihadiri lebih 100 usahawan dan lapan sesi Townhall Industry secara dalam talian dengan kehadiran 11,000 usahawan.

Insken turut melaksanakan 'Sesi Interaksi Usahawan Bersama YB Menteri Medac' secara dalam talian yang dihadiri lebih 200 usahawan daripada pelbagai industri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:00 AM