Mohammad Nazli  (tengah) bersama wakil syarikat makanan dan minuman yang menerima Anugerah Premis Makanan Pilihan.
Mohammad Nazli (tengah) bersama wakil syarikat makanan dan minuman yang menerima Anugerah Premis Makanan Pilihan.

Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pertumbuhan 18 peratus dalam sektor makanan dan minuman (F&B) sehingga September lalu.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, sektor berkenaan menyumbang kira-kira RM200 juta kepada keseluruhan jualan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

“Sektor F&B mempunyai potensi besar dan kita juga menjangkakan sumbangan tahunan sektor ini boleh mencecah sehingga RM300 juta menjelang akhir tahun ini.

“Ia berikutan peningkatan kemasukan jumlah pelancong terutama dari China melalui KLIA dan terminal klia2 yang memberi kesan secara langsung kepada sektor F&B di dua lapangan terbang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen KULinary dan Anugerah Premis Makanan Pilihan di KLIA, di sini, semalam.

Katanya, pengenalan sistem pembayaran menggunakan Alipay sejak Julai lalu turut memudahkan transaksi dalam kalangan pelancong dari China sekali gus memberi kesan positif kepada pertumbuhan F&B.

“Kita berhasrat menjadikan F&B sebagai pengalaman membeli-belah baru kepada semua tetamu selain membawa makanan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia di lapangan terbang kami,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Nazli berkata, pihaknya menyenaraikan 25 premis makanan terbaik yang boleh didapati di dua lapangan terbang miliknya iaitu KLIA dan klia2.

“Penganjuran kempen KULinary sejak tahun lalu turut membantu melonjakkan prestasi jualan di KLIA sebanyak 46.5 peratus dan klia2 sebanyak 53.5 peratus.

“Selain itu, kempen ini usaha yang baik untuk memberi peluang kepada tetamu yang mungkin tidak dapat menikmati pelbagai jenis makanan di luar sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:02 AM